PETALING JAYA: Jabatan Imigresen (JIM) berkata, seramai 1,086 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar dihantar pulang secara sukarela hari ini, walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan sementara untuk menghentikan kerajaan meneruskan pengusiran itu.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, kumpulan warga Myanmar itu dihantar pulang melalui pangkalan tentera laut Lumut di Perak menggunakan tiga kapal tentera laut Myanmar.
“JIM ingin menegaskan semua tahanan yang dihantar pulang merupakan PATI warganegara Myanmar dan tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka.
“Kesemua mereka yang dihantar pulang itu telah bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.
Terdahulu, FMT melaporkan warga Myanmar itu diberikan penangguhan sekurang-kurangnya sehingga 10 pagi esok untuk pendengaran penangguhan mereka.
Kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International dan Asylum Access memohon perintah mahkamah untuk menghentikan pengusiran itu, dengan berkata tiga orang berdaftar dengan UNHCR dan 17 kanak-kanak mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa di Malaysia dalam kalangan mereka yang akan diusir itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.