KUANTAN: "Angin bertiup kencang dalam masa beberapa minit sahaja hingga menerbangkan atap rumah saya dan enam rumah jiran," kata Asiah Harun, 62.
Asiah yang tinggal di Sungai Isap Perdana, di sini berkata, kejadian kira-kira 1.45 petang semalam begitu pantas dan tidak diduga oleh penduduk kawasan taman perumahan berkenaan yang kebanyakan sedang berehat.
Katanya, sebelum ini kejadian angin kencang menerbangkan atap rumah pernah berlaku di kawasan ini namun tidak membabitkan jumlah yang banyak berbanding kali ini.
"Saya terpaksa mengeluarkan belanja lebih RM1,500 untuk membeli atap asbestos dan mengupah kerja membaiki, namun ia hanya dapat dilakukan hari ini oleh dua tukang rumah.
"Ini kejadian kali pertama saya alami dan menganggap ia sebagai ujian Yang Maha Esa," katanya ditemui selepas menerima bantuan bencana daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP).
Bantuan disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, di sini semalam.
Bantuan keperluan asas turut diberikan kepada mangsa oleh Pejabat Menteri Besar Pahang.
Bagi Solah Abdul Rahman, 60, dia kerugian lebih RM1,800 apabila beberapa atap rumahnya diterbangkan angin kencang yang berlaku dalam masa begitu cepat.
"Ketika kejadian saya dan ahli keluarga lain tiada di rumah, kami semua keluarga bekerja. Jiran menghubungi memaklumkan apa yang berlaku. Saya reda dengan apa yang berlaku," katanya.
Sementara itu, Asmadi berkata, MUIP menyediakan bantuan bencana sebanyak RM300 pada setiap mangsa angin kencang di perumahan Sungai Isap Perdana, semalam.
Bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban setiap mangsa yang berpendapatan rendah dan memerlukan sokongan terutama ketika ditimpa ujian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.