Isnin, 1 Februari 2021

Syarikat besar diminta bantu henti penularan Covid-19

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
M. SARAVANAN

PUTRAJAYA: Para pemain industri diminta bersama-sama dengan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 ekoran berlakunya peningkatan kes positif termasuk kluster-kluster berkaitan tempat kerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata,syarikat-syarikat besar terlibat diharap dapat tampil membantu kerajaan menjayakan proses saringan Covid-19 dan vaksinasi yang sedang dan akan dilaksanakan.

“Penularan wabak pandemik Covid-19 tidak hanya memberikan impak terhadap tahap kesihatan masyarakat tetapi turut memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Langkah ini dijangka dapat membantu negara menguruskan ekonomi dengan lebih baik selain membantu pemain industri yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan semalam.

Secara kumulatif sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 251,101 pekerja asing sudah pun selesai melakukan ujian saringan Covid-19 yang melibatkan sebanyak 10,500 majikan.

Daripada jumlah itu, hanya 4,735 pekerja warga asing yang disahkan positif wabak tersebut, manakala selebihnya iaitu seramai 246,366 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 887 klinik terlibat dalam program mandatori itu selari arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Buat permulaan, arahan itu diwajibkan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan sebelum diperluaskan ke negeri lain.

Namun mulai 2 Februari ini, ujian dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu akan dikembangkan kepada sembilan buah negeri lain dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. – UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.