Bimbang jika monumen rosak sehingga tak boleh diselamatkan lagi
SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu usaha memulihara dan memelihara bangunan bersejarah yang mempunyai kaitan dengan negeri itu, khususnya di Kuala Lumpur, diperhebat.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini, Sultan Sharafuddin bimbang jika bangunan dan monumen tersebut tidak dipulihara secepat mungkin serta terbiar, tinggalan sejarah itu akan runtuh atau rosak sehingga tidak boleh diselamatkan lagi.
“Jika itu berlaku, kos pemuliharaan akan menjadi lebih tinggi dan seterusnya akan merugikan negara.
“Pihak berkaitan seperti Kementerian Wilayah Persekutuan, Jabatan Warisan Negara dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu melakukan pemuliharaan serta pemeliharaan lebih intensif terhadap bangunan-bangunan bersejarah tersebut,” titah baginda bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan esok.
Titah baginda kebanyakan bangunan seumpama itu memiliki nilai sejarah yang sangat tinggi serta masih menjadi destinasi pelancongan tumpuan di ibu negara.
Sultan Sharafuddin memberi contoh Bangunan Sultan Abdul Samad yang dirasmikan pada 1897 dan pernah menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri Selangor semasa Kuala Lumpur menjadi ibu negeri Selangor hingga 1974, sebelum ibu negeri Selangor dipindahkan ke Shah Alam.
Titah Sultan Selangor baginda juga pernah bertugas sebagai penjawat awam dengan kerajaan negeri Selangor di Bangunan Sultan Abdul Samad pada 1968.
Bangunan-bangunan bersejarah lain seperti Carcosa Seri Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Gereja St Mary, Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Kereta Api Tanah Melayu (KTM) Berhad, Istana Negara lama serta Stadium Merdeka sarat dengan kisah sejarah melibatkan pembentukan negara ini, yang kebanyakannya mempunyai kaitan rapat dengan sejarah awal Selangor, titah baginda.
“Seni bina Moorish dan Moghul yang melatari reka bentuk bangunan-bangunan bersejarah di sekitar Kuala Lumpur mempunyai cerita tersendiri dan seharusnya dipulihara untuk dihargai serta dikagumi oleh generasi akan datang,” titah baginda. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.