Rabu, 24 Februari 2021

Penjual air tebu didakwa 64 tuduhan sumbang mahram, rogol

azrulhakimie

Tertuduh berusia 42 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah

KLANG – Seorang peniaga air tebu didakwa di Mahkamah Sesyen Klang di sini dengan 64 pertuduhan melibatkan sumbang mahram dengan anak sendiri dan merogol rakan kepada anak perempuannya, yang masing-masing kini berusia 14 tahun.

Tertuduh yang berusia 42 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa mengambil masa dua jam untuk membacakan kesemua pertuduhan berkenaan, di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.

Bagi 55 pertuduhan membabitkan sumbang mahram, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram dengan melakukan persetubuhan dengan anaknya kandungnya, yang mana oleh kerana perhubungan dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang yang terpakai terhadap tertuduh, untuk berkahwin dengannya.

Oleh itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah beralamat di Klang antara April 2019 hingga Januari 2021.

Bagi sembilan pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa telah merogol rakan anaknya pada tarikh antara Ogos 2020 hingga Januari 2021 di lokasi yang sama.

Bagi sembilan pertuduhan berkenaan beliau didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala tertuduh diwakili Khairul Naim Rafidi.

Terdahulu, Nurul Qistini memohon agar mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh, memandangkan tuduhan yang dikenakan adalah serius kerana melibatkan anak perempuan tertuduh dan rakannya yang masih di bawah umur.

Hakim Kunasundary kemudian memerintahkan agar tertuduh tidak dibenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Mac sebagai tarikh sebutan.

Semalam Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli dalam kenyataanya berkata, seorang lelaki ditahan pada 10 Feb lepas kerana merogol anak perempuan dan rakan kepada anak perempuannya pada bulan lepas.

Menurut Shamsul Amar, berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh anak perempuannya, tertuduh telah melakukan perbuatan terkutuk berkenaan sejak dia berusia 10 tahun. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.