KLANG: Orang ramai dilihat masih lagi degil untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, pemerhatian mendapati tahap pematuhan SOP PKP penduduk di daerah ini berada pada tahap 90 peratus sehingga Disember tahun lalu.
“Peratusan ini termasuk pemantauan menerusi sekatan jalan raya yang mana mendapati jumlah kesalahan yang dilakukan orang ramai sudah berkurangan.
“Hanya segelintir kira-kira 10 peratus daripadanya yang masih mengingkari peraturan atau SOP ditetapkan kerajaan,” katanya ketika ditemui pada pemeriksaan SJR di Plaza Tol Bukit Raja di sini, petang tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraan Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad.
Jelas Nurulhuda, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 24,210 kenderaan di tiga lokasi sekatan jalan raya sepanjang tempoh bermula 13 Januari lalu sehingga semalam.
“Daripada jumlah ini, kita telah mengeluarkan sebanyak 20 kompaun dan 217 kenderaan diarah berpatah balik.
“Kesalahan dan alasan biasa yang dikesan antaranya berada melebihi dua orang dalam kenderaan, tiada permit rentas sempadan dan keluar lebih 10 kilometer (km) dari lokasi kediaman,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pihaknya turut menerima sebanyak 5,537 borang rentas sempadan sepanjang tempoh berkenaan.
“Sebanyak 5,392 daripada borang diluluskan manakala 145 lagi ditolak kerana memberi alasan tidak munasabah.
“Antara alasan yang diberikan mahu pulang ke kampung untuk menziarah keluarga atau berubat dan ternyata bukannya hal kecemasan,” katanya.
Sementara itu, Azri berkata, pihaknya mengharapkan orang ramai terus memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa dengan mematuhi SOP ditetapkan.
“Saya menasihatkan semua masyarakat tidak keluar rumah sekiranya tiada sebarang keperluan mendesak. Langkah seumpama ini perlu bagi mengawal penularan kes pandemik Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini,” katanya. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.