Ahad, 28 Februari 2021

MAFI sasar 75 peratus bekalan beras tempatan dalam 5 tahun

JASIN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan Tahap Sara Diri (SSL) bagi bekalan beras dalam negara mencapai 75 peratus dalam tempoh lima tahun.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata setakat ini tahap SSL bekalan beras dalam negara dapat menampung 70 peratus keperluan manakala bakinya diimport membabitkan beras premium termasuk basmathi serta beras perang.

"Sehubungan itu beberapa langkah dirumus termasuk meningkatkan teknologi pengeluaran untuk melonjakkan lagi hasil pengeluaran padi di negara ini," katanya selepas menyampaikan Insentif Teknologi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Jabatan Pertanian negeri, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ghazale Muhamad; Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan), Eliyas Saad dan Pengarah Pertanian negeri, Mohd Rasydan Mohd Yusop.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, seramai 600 penerima terdiri daripada kalangan petani di daerah Jasin menerima pakej bantuan input pertanian seperti baja, benih dan peralatan bernilai RM500 setiap seorang manakala maksimum RM50,000 pula bagi setiap komuniti.

Bagi fasa kedua tahun ini, Jabatan Pertanian memperuntukkan RM21.18 juta yang akan memberi manfaat kepada 27,524 individu dan 1,064 komuniti di seluruh negara.

"Di Melaka saja, seramai 3,151 individu dan 130 komuniti akan menerima insentif PENJANA tahun ini.

"Justeru, saya berharap semua penerima akan segera menggunakan alatan yang diberi dengan sebaiknya kerana menerusi penanaman sayuran ini akan dapat membantu mereka berjimat belanja dapur hingga RM110 sebulan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.