Ahad, 28 Februari 2021

KEJORA terus cemerlang bangun Johor Tenggara

KOTA TINGGI: Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) bakal menyambut sambutan Jubli Emas 50 tahun penubuhannya, tahun depan, iaitu pada 1 Jun 2022.

KEJORA yang ditubuhkan pada 1 Jun 1972 adalah antara Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) terawal ditubuhkan di Malaysia yang bertanggungjawab menyelia dan membangunkan Wilayah Johor Tenggara.

Wilayah KEJORA di bahagian Johor Tenggara itu membabitkan kawasan seluas 151,231 hektar Wilayah semenanjung Pengerang dan 149,919 hektar Wilayah Johor Tengah.

Penubuhannya adalah satu strategi pembangunan terancang kerajaan untuk mempercepatkan pembangunan wilayah yang mundur untuk mencapai keseimbangan pembangunan dan ekonomi antara wilayah.

Bertunjangkan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB)bagi mencapai visi Luar Bandar Sejahtera, KEJORA terus mengorak langkah untuk menjadi Peneraju Wilayah Johor Tenggara pada 2030.

Pengerusinya, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh, berkata banyak perubahan yang dilakukan KEJORA di bahagian Johor Tenggara yang bermula daripada kawasan yang tidak dikenali serta hutan belukar.

"Hari ini, banyak bangunan, infrastruktur serta kemudahan fasiliti dibina di Wilayah KEJORA khususnya di Bandar Penawar, di sini.

"Bagi menyemarakkan sambutan Jubli Emas 50 tahun penubuhan KEJORA, pelbagai acara menjelang sambutan sudah disusun dan akan dilaksanakan bagi menghargai jasa anggota, selain memaklumkan kepada umum kejayaannya sejak ditubuhkan.

"Antara acara yang disenaraikan sepanjang tahun ini hingga tahun depan termasuklah Pertandingan Merekacipta Logo Dan Slogan, Pertandingan Virtual Run 2021, Pertandingan Kuiz Online 2021, Wawancara Eksklusif, Executive Talks, Pameran 50 Tahun KEJORA dan Majlis Kemuncak Sambutan Jubli Emas 50 Tahun KEJORA," katanya pada Majlis Prapelancaran Sambutan Jubli Emas KEJORA, di sini.

Sementara itu, Timbalan Menteri 1 Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata KEJORA yang bakal menyambut sambutan Jubli Emas 50 tahun penubuhannya tahun depan, disifatkan sebagai LKW paling cemerlang prestasi pembangunannya, di negara ini.

Katanya, sepanjang 49 tahun penubuhannya, KEJORA berjaya membangunkan masyarakat luar bandar di wilayah Johor Tenggara menerusi pemerkasaan modal insan, prasarana dan sosioekonomi mampan.

"Sebagai satu daripada LKW yang terawal ditubuhkan di negara ini, KEJORA menggalas amanah dengan matlamat untuk menangani ketidakseimbangan wilayah melalui penerokaan tanah, pembukaan kawasan baharu dan menyediakan infrastruktur asas di kawasan yang tidak dapat diakses serta mempunyai kepadatan penduduk rendah.

"Penubuhan KEJORA pada 1 Jun 1972 adalah kesinambungan dari pembentukan LKW pada tahun 1970-an, yang bermatlamat untuk mempercepatkan pembangunan kawasan kurang maju dan menangani cabaran sosio ekonomi yang dihadapi oleh negara ini seperti kemiskinan dan ketidaksamarataan tahap ekonomi.

Abdul Rahman (kanan), menerima logo sambutan Jubli Emas KEJORA yang disampaikan A Jalil.
Abdul Rahman (kanan), menerima logo sambutan Jubli Emas 
KEJORA yang disampaikan A Jalil.

"Warga KEJORA haruslah berasa bertuah dan bersyukur kerana berjaya mengharungi pelbagai halangan dan rintangan selama 49 tahun penubuhannya.

"Kejayaan KEJORA hari ini adalah kejayaan semua warga kerja termasuk pegawai dan kakitangannya yang berganding bahu demi memastikan kesejahteraan masyarakat luar bandar terbela," katanya pada majlis prapelancaran berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pengiktirafan yang diterima KEJORA lebih daripada empat dekad membuktikan pada usia Jubli Emas, KEJORA sudah mampu terkehadapan dan mendahului pembangunan di wilayah diurus LKW.

"Inilah citra yang berjaya dibina bersama hasil jerih-payah perjuangan perintis KEJORA terdahulu dan ia perlu diuar-uarkan kepada masyarakat supaya kejayaan KEJORA dapat disebar luas dan menjadi inspirasi kepada semua," katanya.

2 projek khas ringan beban, tingkat taraf hidup penduduk

Kota Tinggi: Satu daripada misi KEJORA di wilayah pembangunannya adalah meningkatkan pendapatan penduduk kumpulan sasar daripada miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah (B40) di luar bandar melalui pembabitan mereka dalam projek ekonomi yang mampu meningkatkan taraf hidup mereka.

Ia termasuklah pembayaran wang sumbangan dan dividen menerusi dua projek khas iaitu Tabung Ladang Berskala Besar (TLBB) dan Projek Ternakan Burung Walit Berkelompok Kampung Belukar Durian.

Pengurus Besar KEJORA, A Jalil Md Arsad, berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sebanyak RM4.78 juta kepada KEJORA bagi melaksanakan Projek Tanaman Nanas menerusi Program Projek Ladang Buah Berskala Besar (EPP7), pada 2014.

Katanya, KEJORA dilantik sebagai agensi pelaksana dan pembayar bagi pelaksanaan projek berkenaan membabitkan kerja penyediaan infrastruktur luar bandar yang merangkumi jalan ladang, bekalan air dan elektrik dengan Tetuan Ergobumi Sdn Bhd dilantik sebagai syarikat peneraju dan merupakan pemajak tanah pertanian KEJORA seluas 124.542 hektar di sebahagian Kawasan Pertanian Kampung Tuan Seh, Sedili Besar bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Oleh itu, syarikat berkenaan dikehendaki menjelaskan wang sumbangan TLBB kepada KEJORA bagi disalurkan kembali kepada penduduk golongan sasar di wilayah KEJORA khususnya peserta Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Sinar Sedili bagi tujuan sumbangan sempena sambutan Aidilfitri, bantuan persekolahan dan juga kecemasan.

"KEJORA memperuntukkan sebanyak RM19,600 iaitu pada kadar bayaran RM200 bagi setiap ketua isi rumah (KIR) Taman Sinar Sedili membabitkan 98 keluarga.

"Ia bagi meringankan beban kewangan penduduk Taman Sinar Sedili yang terjejas pendapatannya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan," katanya.

Mengulas lanjut, A Jalil berkata, bagi Projek Ternakan Burung Walit Berkelompok Kampung Belukar Durian pula pelaksanaannya diluluskan KEJORA sejak 9 November 2010 dengan peruntukan RM300,000.

Katanya, keuntungan daripada hasil pendapatan projek berkenaan diagihkan kepada 30 peserta yang disenaraikan e-Kasih di mukim Sedili Kecil.

"Sehingga 31 Disember 2020, sebanyak RM22,260 bayaran dividen menerusi projek berkenaan diberikan kepada peserta melalui hasil keuntungan projek berkenaan.

"Seramai 30 peserta menerima bayaran dividen berkenaan iaitu sebanyak RM300 seorang," katanya.

Sementara itu, penerima pembayaran wang sumbangan dan dividen menerusi dua projek khas iaitu TLBB dan Projek Ternakan Burung Walit Berkelompok Kampung Belukar Durian, bersyukur bayaran berkenaan terus diberikan, sekali gus meredakan bebanan ditanggung.

Abdul Rahman (dua dari kanan) bersama A Jalil (kanan) dan Che Zakaria (kiri) bergambar dengan penerima sumbangan dan dividen, Munah (tiga dari kanan), Napsiah serta Mohammad Amin selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Sambutan Jubli Emas KEJORA.
Abdul Rahman (dua dari kanan) bersama A Jalil (kanan) dan 
Che Zakaria (kiri) bergambar dengan penerima sumbangan 
dan dividen, Munah (tiga dari kanan), Napsiah serta Mohammad
 Amin selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Sambutan 
Jubli Emas KEJORA.

Bagi ibu tunggal, Munah Rahmat, 70, penerima dividen Projek Ternakan Burung Walit Berkelompok Kampung Belukar Durian, berkata beliau sudah menerima bayaran dividen berkenaan sejak lima tahun lalu.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana KEJORA tidak melupakan penduduk miskin di wilayah pentadbirannya.

"Manfaat yang diterima ini amat besar maknanya bagi kami penduduk kurang mampu sekali gus meredakan bebanan ditanggung," katanya.

Mohammad Amin Abu Naim, 52, yang juga penerima sumbangan TLBB pula berkata, beliau yang bekerja sebagai nelayan sememangnya terbeban dan terjejas berikutan musim monsun selain pelaksanaan PKP.

"Sumbangan yang diterima ini menambah hasil pendapatan keluarga dan boleh digunakan bagi membeli barang keperluan kami," katanya.

Ia dipersetujui peniaga burger, Napsiah Abd Manap, 47, yang bersyukur kerana sumbangan menerusi TLBB itu akan dimanfaatkan sepenuhnya penerima di kalangan keluarga B40.

"Peserta bukan sahaja disediakan rumah bagi setiap keluarga malah banyak lagi manfaat termasuk sumbangan TLBB yang sangat membantu kami," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.