Isnin, 1 Februari 2021

Golongan B40 di KL, Putrajaya, Labuan terima beras setiap minggu – PM

MGF31012021_HUMAN-INTEREST-HARI-WILAYAH-4-1
Penduduk, Adam Mohd Sahat, 64 bersama Bon Yati, 64 (kiri) memasang bendera Wilayah Persekutuan di lorong kawasan perumahannya sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN,

KUALA LUMPUR – Golongan B40 yang tinggal di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan menerima beras secara percuma setiap minggu bermula hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin yang mengumumkan perkara itu berkata, bagi tujuan itu sebanyak 5750 kampit beras akan diedarkan dan ia merupakan usaha Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan serta Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan melalui Program MyBeras@Wilayah.

“Walaubagaimanapun, saya ingin mengingatkan dalam proses pengagihan, jangan lupa perlu kekal mematuhi SOP tertentu yang ditetapkan demi menjaga diri kita dari dijangkiti Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Khas sempena Pelancaran Program Kemiskinan Bandar (5MY) Wilayah Persekutuan Sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021, sebentar tadi.

Perdana Menteri berkata, kerajaan bertekad akan terus berusaha meringankan beban kos sara hidup rakyat dengan menyediakan program perlindungan sosial yang komprehensif untuk memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah tidak tertinggal daripada arus pembangunan negara.

Katanya, kerajaan sedar realiti kesulitan yang berlaku dalam kalangan rakyat tanpa mengira golongan, yang bertungkus-lumus membina semula dan meneruskan kehidupan berikutan pandemik Covid-19.

“Kerajaan mengikuti dengan rapat keadaan yang berlaku bagi memastikan ikhtiar bantuan dapat disampaikan kepada golongan sasaran.

“Ini juga dibuktikan melalui Belanjawan 2021 yang memberikan tumpuan khusus kepada inisiatif-inisiatif membantu rakyat yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

“Selain itu, saya juga mengumumkan inisiatif PERMAI (Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia) pada 18 Januari lalu.

“Pakej bantuan PERMAI, inisiatif kerajaan secara berterusan bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.