Khamis, 25 Februari 2021

'Fungsi berbeza jarum merah, jarum biru'

PUTRAJAYA: Penggunaan dua jenis jarum berbeza ketika pemberian vaksin COVID-19 kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perbahasan dalam media sosial sejak semalam.

Malah, ada pihak yang seolah-olah mempersoalkan sama ada benar vaksin yang disuntik di lengan Perdana Menteri pada Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) semalam.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu penjelasan ringkas hari ini, berkata penggunaan dua jenis jarum itu berikutan ia mempunyai saiz berbeza untuk fungsi berlainan.

Kenyataan itu menyebut, jarum berwarna biru digunakan untuk menyedut cecair vaksin dari bebuli bersaiz besar untuk memastikan pengambilan yang lancar.

"Saiz jarum merah atau jingga yang lebih kecil digunakan untuk inokulasi bagi memastikan kurang sakit dan lebam.

"Selain itu, penggunaan jarum berbeza perlu bagi mengelakkan berlaku pencemaran silang antara pesakit," katanya.

KKM berkata, apa yang penting isi kandungan vaksin yang disedut dari bebuli dan diberikan kepada pesakit tidak berubah.

Semalam, Muhyiddin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech, sekali gus menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara rasmi.

Malaysia meletak sasaran mencapai imuniti berkelompok dengan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di negara ini menerima vaksin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.