Ahad, 28 Februari 2021

Benih padi, MAFI terbuka terhadap rungutan pesawah

 Oleh ISWAN SHAFIQ ISA

 
RONALD Kiandee (tengah) , Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Beras MARDI, Dr. Asfaliza Ramli (kanan) memeriksa padi yang di tanam oleh pihak MARDI semasa tinjauan yang yang dilakukan di MARDI Kepala Batas hari ini. UTUSAN/ MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN

KEPALA BATAS: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa terbuka terhadap sebarang rungutan atau teguran khususnya daripada kalangan pesawah berkaitan pengedaran serta penjualan benih padi. 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, langkah penambahbaikan juga akan dibuat dari semasa ke semasa demi manfaat para pesawah pada ketika ini. 

“Sebenarnya, ini adalah pengalaman baharu buat Nafas (Pertubuhan Peladang Kebangsaan) apabila dilantik sebagai pengedar tunggal benih padi kepada pesawah. 

“Apapun, semua tindakan penambahbaikan yang kita buat ini adalah demi kebaikan pesawah semata-mata,” katanya. 

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan dua varieti baharu padi keluaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) iaitu MR315 dan MRQ104 di pejabat MARDI Seberang Perai, di sini hari ini. 

Dfahamkan, varieti pertama iaitu MR315 atau diberi nama Seri Waja itu diperkenalkan untuk memberi kepelbagaian kepada genetik padi selain menawarkan lebih pilihan kepada pesawah. 

Sementara itu, varieti MRQ 104 atau Kembangsari pula dihasilkan untuk membuka pasaran beras wangi tempatan secara lebih meluas. 

Menurut Ronald, kedua-dua varieti itu dihasilkan selepas satu kajian selama lebih 10 tahun dijalankan bagi memastikan padi tersebut tahan penyakit selain sesuai dengan tanah dan iklim tempatan. 

“Kita jangkakan dengan adanya varieti baharu ini, tabung makanan negara ketika ini dapat ditingkatkan. 

“Pada masa sama, pengenalan varieti ini juga diharap dapat memberikan hasil yang lebih tinggi juga iaitu sehingga sembilan metrik tan per hektar untuk tanaman padi,” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.