Sabtu, 27 Februari 2021

Bas bawa pesakit Covid-19 terbabas rempuh plaza tol, 6 penumpang cedera

Bas ekspres membawa pesakit Covid-19 terbabit kemalangan di Plaza Tol 
UPM, hari ini. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) MAEPS 2.0 dengan membawa 12 pesakit Covid-19 terbabit dalam kemalangan di Plaza Tol UPM, Serdang petang tadi.

Dalam kejadian pada kira-kira 3 petang, bas yang dalam perjalanan dari Perak itu dipercayai terbabas dan merempuh pondok plaza tol terbabit mengakibatkan enam penumpang mengalami cedera ringan.

Bas itu dipercayai membawa pesakit Kluster Changkat Jong, Perak dan difahamkan enam mangsa yang cedera dibawa terus ke MAEPS, Serdang untuk rawatan lanjut manakala keadaan pemandu bas belum dapat dipastikan.

Kejadian itu tular di media sosial hari ini yang menunjukkan sebuah bas terbabas dan melanggar plaza tol serta beberapa keping gambar keadaan bas terbabit yang rosak di bahagian hadapan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Azman Shari’at ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan masih dijalankan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.