Kalendar dunia seni dan hiburan 2020 menyaksikan pelbagai kisah suka duka dilalui golongan selebriti tanah air.
Antara yang menjadi tumpuan ramai adalah pemergian selebriti ke pangkuan Ilahi, perkahwinan artis popular dan kemunculan wabak Covid-19 yang menjejaskan mata pencarian golongan berkenaan.
Bukan setakat itu, kontroversi membabitkan nama pendakwah dengan tuduhan jenayah menjadi antara isu terhangat meniti di bibir pembaca.
Di sebalik pelbagai cerita dan kontroversi menggamit persada seni tanah air, sebahagiannya mungkin boleh dijadikan iktibar pada masa akan datang.
Dengan berakhirnya 2020 yang bakal melabuhkan tirainya beberapa jam lagi, kami di Malaysiakini memaparkan beberapa sorotan peristiwa menarik dalam dunia seni hiburan sepanjang tahun ini.
Berikut sorotan 10 berita dilaporkan yang menjadi isu terhangat sepanjang tahun 2020:
Dakwaan jenayah seksual dihadapi Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful
Bekas peserta program bercorak keagamaan Dai Pendakwah Nusantara itu antara pendakwah yang menjadi perhatian ramai mutakhir ini termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad.
Walaupun tidak menyebut mana-mana nama secara khusus, namun Zulkifli berkata demikian bagi mengelak sebarang persepsi buruk terhadap golongan pendakwah Islam.
Syed Shah Iqmal, 25, dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mencabul dan melakukan seks luar tabii. Dia juga dihadapkan dengan pertuduhan rogol di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Untuk pertuduhan cabul, mahkamah membenarkan Syed Shah Iqmal diikat jamin sebanyak RM5,000 dan bagi pertuduhan seks luar tabii RM20,000 manakala bagi rogol RM10,000. Selain itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu Syed Shah Iqmal tidak menganggu mangsa.
Penyanyi dan pelakon itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Faiz Dziyauddin.
Dia dibebaskan dengan ikat jamin RM35,000 bagi kedua-dua pertuduhan pada 15 Dis lalu.
Dari kisah pemergian pelawak Abam Bocey hingga timbul konflik perebutan harta
Pemergian Abam pada 10 Feb lalu - selepas mengalami demam panas - bukan sahaja diperkatakan peminat dan golongan seni tanah air, malah turut mencuri perhatian pemimpin negara dan golongan agama.
Meskipun sudah lima hari pelawak, pelakon dan ahli kumpulan Bocey itu kembali ke rahmatullah, kebaikannya terus diperkatakan dan dikongsi di media sosial ketika itu.
Kematian pemilik nama penuh Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan al-Juffrey itu juga disifatkan sebagai husnul khatimah oleh Dr Zulkifli Mohamad yang menjadi Mufti Wilayah Persekutuan pada waktu itu.
Walaupun kematiannya dicemburui, keadaan bertukar menjadi keruh apabila timbulnya konflik harta antara balu Abam, Nor Hidayah Mohd Ali dengan adik arwah, Ali Puteh.
Selepas berbulan-bulan berdepan konflik, kedua-duanya membawa isu terbabit ke mahkamah bagi mencari jalan penyelesaian.
Abam dan Hidayah diijabkalbulkan pada 8 Disember 2017 dan dikurniakan cahaya mata, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia setahun enam bulan.
Neelofa dan PU Riz dibayangi dakwaan minyak pengasih, nikah diam-diam
Nama Neelofa menjadi sohor kini di Twitter baru-baru ini apabila pengacara dan pelakon popular itu didakwa bernikah senyap-senyap dengan Haris Ismail di Kelantan.
Bukan setakat itu, spekulasi penggunaan minyak pengasih turut menjadi topik hangat dalam kalangan netizen semasa mereka memperkatakan hubungan mereka yang didakwa kini berantakan.
Semuanya bermula selepas adik-beradik Neelofa memberi bayangan hubungan aktres itu dan peserta program bercorak keagamaan yang lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Riz tersebut dilanda badai.
Tinjauan Malaysiakini mendapati dakwaan-dakwaan itu tersebar selepas beberapa tangkap layar paparan perbualan WhatsApp antara dua individu dimuat naik di media sosial.
Bagaimanapun, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor menafikan semua dakwaan dalam satu kenyataan dibuat pada 27 Dis lalu.
Berkenaan hubungan dengan Haris, Neelofa berkata keluarga kedua-dua belah pihak kini dalam proses perbincangan untuk mencari titik penyelesaian.
Pemergian Ashraf Sinclair beri impak buat dua negara
Khabar duka buat penyanyi dan pelakon Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL apabila suaminya, aktor Ashraf Sinclair meninggal dunia akibat serangan jantung pagi pada 18 Feb lalu.
Ashraf, warga Malaysia yang dilahirkan di London dan membina karier di Indonesia meninggal dunia ketika berusia 40 tahun.
Kesedihan melanda BCL, 37, yang kehilangan suaminya secara mengejut itu mendapat perhatian meluas media Malaysia dan Indonesia.
Ashraf dan BCL mempunyai seorang cahaya mata lelaki, Noah Aidan yang kini berusia 10 tahun.
Penggiat seni positif Covid-19
Pandemik Covid-19 menjangkiti sebilangan besar penduduk dunia, turut positif wabak berkenaan adalah beberapa artis tempatan
Selepas beberapa hari mendiamkan diri daripada media, pelakon Ashraf Muslim akhirnya mendedahkan dirinya positif wabak Covid-19 pada 15 April lalu.
Ashraf berkata keputusan ujiannya keluar pada 12 April lalu, dan reda dengan apa yang dihadapinya itu.
Sebelum ini, Ashraf mengaku dia menjalani kuarantin secara sukarela sebaik pulang dari Inverness, Scotland pada 31 Mac lalu, bagi menjalani penggambaran drama 26 episod, Demi, untuk siaran RTM.
Dia bersama 18 lagi, termasuk pengarah, pelakon dan kru, berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu, sebelum meningkatnya kes Covid-19 dan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Ashraf, 38, kembali ke pangkuan dua isteri iaitu Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi selepas kira-kira tiga minggu dikuarantin di Hospital Sungai Buloh (HSB) kerana positif wabak berkenaan.
Selain Ashraf, beberapa lagi kru Demi termasuk pelakon Puteri Aishah dan pelakon kanak-kanak, Puteri Rayyana Rayqa juga dilaporkan positif Covid-19.
Terbaru, Separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35) yang dijadual bersiaran secara langsung pada 22 Nov lalu ditunda susulan salah seorang penyanyi yang terbabit dalam program itu, Alif Satar, disahkan positif Covid-19.
Alif turut membuat persembahan dalam Muzik Muzik 35 Separuh Akhir pada 20 November lalu, yang diadakan di Sri Pentas 2 di Shah Alam, Selangor.
Bagaimanapun, keputusan saringan Covid-19 menunjukkan isteri dan anak-anaknya bebas daripada dijangkiti wabak berkenaan.
Alif berkata atas faktor keselamatan isterinya, Sha Dila Halid, 35, dan anak mereka Alisha Anugerah, 4; Ariana Mecca, 2; serta Muhammad Ali, 1; terus menjalani kuarantin kendiri di rumah selama dua minggu.
Alif dikuarantin selama 12 hari bermula 22 Nov lalu di Hospital Melaka. Susulan itu, produksi SFMM35 menanungguhkan episod ketiga program berkenaan ke 15 Dis atas faktor-faktor kesihatan dan keselamatan.
Mengadu sukar teruskan kehidupan
Isu mengenai kerajaan tidak wajar meminggirkan penggiat seni ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan mencetus kontroversi apabila netizen mempertikaikan kewajaran mereka menuntut hak berbeza daripada apa yang sudah disediakan kerajaan.
Pengguna alam maya yang tidak berpuas hati mempersoal kesesuaian golongan tersebut meminta bantuan sedangkan ada di antara mereka mampu berpakaian mewah dan menayangkan kekayaan di media sosial.
Tidak sengaja menuai benci, penyanyi Black Hanifah bagaimanapun memohon maaf secara terbuka selepas mengaku niatnya cuma mewakili anak seni selain bertujuan membantu mereka yang terjejas.
Turut terkena tempias, penyanyi Tomok, pelawak Shuib, Achey dan pelakon Fizo Omar kerana sama-sama menyuarakan pandangan sama.
Populariti Syahmi Sazli dan timbul rasa kurang senang
Nama bintang YouTube yang kini bergelar pengarah Syahmi Sazli meledak selepas filem pertama arahannya Mael Totey The Movie berjaya mengutip RM2.56 juta hanya selepas empat hari tayangan melalui Astro First.
Terkini, filem berkenaan berjaya mengutip lebih RM7 juta, menjadikan ia sebagai kutipan tertinggi dalam sejarah saluran Astro First.
Filem mengetengahkan antaranya bakat orang kurang upaya sebagai pelakon turut menambah populariti naskhah berkenaan yang diarah dan dilakonkan Syahmi sendiri.
Kejayaan Syahmi membuatkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menjadi dalang penyebaran filem Mael Totey The Movie melalui media sosial, laman e-dagang dan laman web tanpa lesen pengedaran yang sah.
Bagaimanapun, ia tidak menghalang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk mengangkat pengarah muda itu sebagai Ikon Pengarah Muda susulan kejayaannya mengutip jumlah kutipan tinggi ketika negara berdepan Covid-19.
Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berkata pengumuman secara rasmi akan dibuat pada satu majlis apresiasi bagi menghargai mereka yang berjaya dalam bidang perfileman negara awal tahun depan.
Namun, kenyataan itu menimbulkan rasa kurang senang segelintir penggiat seni antaranya Pengarah filem dan penulis skrip Al Jafree Md Yusop yang mempersoalkan kewajaran Finas kerana tidak mempertimbangkan nama-nama lain yang disifatkannya lebih layak.
Mengulas kekeliruan tersebut, Zakaria, berkata kenyataannya difahami orang di luar konteks sebenar.
Menurut Zakaria, apa yang disebutnya sebelum ini hanya bersifat cadangan malah katanya mungkin ada lagi pengarah lain yang akan dinilai panel tertentu untuk diberi pengiktirafan dalam pelbagai kategori berbeza.
Mira Filzah diijabkabul dengan anak ahli parlimen
Meskipun pelbagai spekulasi bertebaran, pelakon dan pengacara Mira Filzah pada awal terus mengunci mulut apabila disoal sama ada jejaka yang sedang bertahta di hatinya merupakan anak kepada seorang ahli parlimen.
Namun, semuanya terjawab apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Mastura Mohd Yazid mengesahkan anaknya Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 30, bakal melangsungkan pernikahan dengan Mira Filzah.
Pemilik nama penuh Nur Amirah Filzah Badioezaman itu mengikat tali pertunangan dengan Wan Emir Astar pada 16 Julai lalu.
Pasangan tersebut kemudian melangsungkan perkahwinan pada 3 Sep lalu di sebuah pusat konvensyen di Bukit Kiara dalam satu majlis yang disifatkan sebagai Wedding of The Year kerana kemeriahannya walaupun disambut mengikut prosedur operasi standard ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.
Emma Maembong simpan rahsia
Spekulasi pelakon Emma Maembong bakal mendirikan rumah tangga akhirnya menjadi kenyataan pada 20 Feb lalu.
Dia sah menjadi isteri Muhammad Shazli Azhar dengan sekali lafaz kira-kira jam 11.57 tadi di Centre For Malay World and Islamic, Damansara, Kuala Lumpur.
Sebelum itu, kecoh di dada media Emma atau nama penuhnya Fatimah Rohani binti Ismail, 27, bakal bernikah dua hari lagi.
Pelakon berkenaan juga dispekulasi memilih tarikh yang menjadi pilihan ramai, iaitu 20-02-2020 untuk diijabkabulkan bersama pasangannya.
Emma pada awalnya disebut-sebut bakal bersuamikan lelaki dari kerabat diraja.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak benar, sebaliknya lelaki berusia 32 tahun itu bekerja sebagai juruterbang di sebuah syarikat penerbangan Indonesia.
Selain perkahwinan, Emma turut menyimpan berita dia menimang cahaya mata daripada pengetahuan umum.
Muhammad Shazli hanya berkongsikan berita tersebut pada 17 Nov, iaitu sembilan hari selepas Emma selamat melahirkan Shariq Gabriel.
Siti Nurhaliza hamil lagi
Selepas mengundang tanda tanya apabila bentuk tubuhnya dilihat berbeza daripada biasa, penyanyi Siti Nurhaliza pada 1 Dis lalu akhirnya mengesahkan dia sedang berbadan dua sekali lagi.
Menurut Siti, sungguhpun kehamilan itu baru mencecah usia empat bulan dia tidak berniat untuk merahsiakan berita gembira tersebut daripada umum seperti sebelum ini.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan anak sulung penyanyi Anta Permana itu, Siti Aafiyah, seolah-olah memberi bayangan ibunya mengandung.
Aksi spontan Aafiyah yang kini berusia lebih dua tahun mencium perut ibunya, sewaktu sesi siaran langsung di Instagram penyanyi itu mengundang spekulasi yang mengatakan penyanyi itu sedang hamil anak kedua.
Siti, 41, dalam perkongsiannya di Instagram itu turut memohon peminat untuk mendoakan kesihatan dia dan bayi dalam kandungannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.