Bernama
Penambahan
aset amat diperlukan di perairan Perak terutama
dalam memperkukuhkan
penguatkuasaan dan menjadikan rutin
rondaan secara menyeluruh lebih
efektif. - Gambar hiasan
LUMUT:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak yakin penambahan
dua bot mampu memantapkan lagi operasi pasukan itu dalam menjaga
keselamatan perairan negara.
Pengarah
APMM negeri Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata bot pemintas Benteng
1206 diterima pihaknya bulan lepas manakala bot peronda Perkasa 1223
pada awal tahun ini.
Beliau
berkata penambahan aset dua bot itu amat diperlukan di perairan Perak
terutama dalam memperkukuhkan penguatkuasaan dan menjadikan rutin
rondaan secara menyeluruh lebih efektif selain mematahkan kegiatan
melanggar undang-undang di laut dengan lebih pantas.
"Bot
Benteng 1206 boleh mencecah kelajuan maksimum sehingga 60 knot. Bot ini
digunakan untuk pintasan jika ada aduan mengenai sebarang kejadian di
kawasan sempadan.
"Apabila
kita dapat aduan di kawasan sempadan, kita akan mampu sampai ke lokasi
dalam masa 60 minit," katanya dalam sidang media selepas melawat kawasan
operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang awak-awak Myanmar di
perairan Lumut di sini pada Rabu.
Shahrizan
juga berkata bot Perkasa 1223 dilengkapi kabin yang mampu kekal di laut
selama 24 jam dan akan memantapkan setiap operasi di laut dengan
berkesan.
"Perkasa 1223 adalah bot laju
yang sesuai untuk kawasan pesisiran. Kesemua bot ini memang diperlukan
kerana mengikut rekod di Perak, kejadian bot nelayan Indonesia
menceroboh dan gangguan pihak penguat kuasa asing banyak berlaku,"
katanya.
Beliau berkata sehingga kini,
APMM Perak termasuk Zon Maritim Kuala Kurau mempunyai 13 bot peronda dan
pemintas bagi operasi penguatkuasaan.
Mengulas
operasi SAR itu, Shahrizan berkata pasukan mencari belum menemui
sebarang petunjuk kepada Nai Mon Chan, 26, yang dikhuatiri lemas selepas
bot nelayan tempatan dinaiki mangsa bersama dua lagi rakannya
berlanggar dengan kapal TB Glory 3 di perairan tersebut awal pagi
semalam.
Katanya kawasan operasi telah diperluas sehingga 104.48 batu nautika persegi.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.