Ahad, 31 Januari 2021

'Saya terkilan kerana tidak mampu mempertahankan arwah'

Norlida (tengah) sedih selepas mengetahui kematian anak angkat selepas diserahkan kepada ibu kandungnya empat bulan lalu.-\Foto Amir Mamat
Norlida (tengah) sedih selepas mengetahui kematian anak angkat selepas diserahkan kepada ibu kandungnya empat bulan lalu.-\Foto Amir Mamat

MELAKA: "Saya menyesal menyerahkan semula anak angkat kepada ibunya, tetapi apakan daya, saya memahami hak seorang ibu yang mahu anak kembali ke pangkuannya.

"Tetapi saya tidak sangka dia diperlakukan sebegitu hanya selepas empat bulan kami berpisah, sedangkan dia anak yang baik dan tidak pernah membantah kata selama menjaganya sejak bayi lagi," kata Norlida Abu Hassan, 50, ibu angkat kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang meninggal dunia dipercayai didera.

Kisah perpisahan Norlida dan anak angkatnya pernah tular di Facebook pada Oktober tahun lalu dan mendapat perhatian ramai yang turut bersedih berikutan kanak-kanak terbabit terpaksa diserahkan semula kepada ibu kandungnya.

Norlida yang tinggal di Rawang, Selangor berkata, beliau terkilan kerana tidak mampu mempertahankan arwah ketika didera sehingga menyebabkan kanak-kanak itu meninggal dunia.

"Saya menjaganya seperti 'menatang minyak yang penuh' dan menganggapnya sebagai anak bongsu. Sejak menjaganya, dia tidak pernah menyusahkan saya, malah arwah memang tidak pernah mendesak jika mahukan sesuatu termasuk barangan permainan.

"Arwah juga berjaya menghafal surah Al-Mulk selepas belajar dengan kakak angkatnya.

"Saya memang terkejut dengan keadaan ini. Kenapa dia diperlakukan seperti itu, saya memang tak sangka," katanya ketika ditemui di rumah kenalannya di Batu Berendam di sini, hari ini.

Susulan kejadian itu, pasangan suami isteri yang disyaki mendera dan membunuh kanak-kanak berkenaan, semalam direman tujuh hari sehingga 5 Februari depan bagi membantu siasatan kes itu.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Ayer Keroh, Mohd Anuar Ostadi hari ini, selepas dipohon polis mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Norlida berkata, dia sekeluarga amat terkejut selepas dihubungi jiran kepada ibu kandung mangsa dari Krubong kira-kira jam 8 malam tadi yang memaklumkan berita sedih itu selepas mengetahui video tular perpisahan mereka sebelum ini.

Katanya, beliau sekeluarga tidak menyangka kematian tragis mengakhiri hidup anak angkatnya itu, sebelum bergegas ke Melaka malam tadi.

"Sebagai ibu, saya faham apabila ibu kandung mangsa selalu mengatakan kerinduannya kepada anak, jadi saya reda melepaskannya kerana ketika ibu kandungnya meminta saya menjaga anaknya, tiada perjanjian hitam putih dibuat antara kami.

"Malah, ketika menyerahkan semula kanak-kanak itu, saya terpaksa akur kerana tidak mahu bergaduh dengan ibunya," katanya.

Norlida berkata, sepanjang menjaga kanak-kanak berkenaan sejak berusia dua bulan hingga Oktober tahun lalu, ibu kandungnya jarang berjumpa, malah langsung tidak mengambil tahu mengenai mangsa.

Katanya, selepas mereka berpisah empat bulan lalu, ibu kandung kanak-kanak itu menghalang mereka daripada terus berhubung.

"Kami mahu bercakap di telefon pun dihalang, malah mesej dihantar melalui aplikasi WhatsApp dan panggilan video juga tidak dibenarkan.

"Bapa tiri mangsa terpaksa membawanya berjumpa saya secara senyap-senyap kerana ibu kandungnya bimbang saya akan mengambilnya semula," katanya.

Berkongsi detik terakhir bertemu mangsa pada awal November tahun lalu, Norlida berkata, bapa tiri arwah yang bekerja sebagai pemandu lori membawa kanak-kanak itu berjumpanya di kedai makan di Rawang tanpa pengetahuan ibunya.

"Hampir satu jam kami menghabiskan masa, malah sempat bergambar bersama dan saya sempat bertanya arwah hendak duduk dengan siapa, namun dia mendiamkan diri.

"Dia tak bercakap tetapi saya bertanya, 'Adik rindu Umi tak?' dan dia menjawab 'Adik rindu Umi, abah, kakak dan abang, tetapi adik tak boleh sebab terpaksa ikut mama (panggilan kepada ibu kandungnya)," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.