Melaka: Wanita berusia 49 tahun 'berputih mata' selepas simpanan dan wang peninggalan keluarganya berjumlah RM2 juta lesap akibat terpedaya dengan sindiket Macau Scam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, suri rumah itu dihubungi individu yang menyamar sebagai pegawai polis berstatus 'Datuk' dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang mendakwa mangsa terbabit aktiviti penjualan dadah dan pengubahan wang haram.
Menurutnya, mangsa menerima pesanan melalui WhatsApp yang menunjukkan waran tangkap dan surat pembekuan aset pada 10 Januari lalu.
"Suspek mengarahkan mangsa memberikan butiran akaun bank kononnya untuk siasatan. Mangsa yang ketakutan memberikan butiran akaun bank dan nombor OTP enam digit kepada suspek.
"Bagaimanapun mangsa yang mula curiga kemudiannya merujuk perkara berkenaan kepada pihak bank dan dimaklumkan terdapat 164 kali transaksi pindahan wang dilakukan melalui aplikasi DuitNow berjumlah RM2,082,736.91 kepada 16 akaun berbeza," katanya.
Beliau berkata, mangsa menyatakan semua wang yang dipindahkan itu adalah simpanannya dan peninggalan keluarga sebelum membuat laporan polis.
Menurutnya, hasil semakan, polis mendapati nombor telefon yang digunakan suspek terbabit dengan 13 laporan polis menggunakan modus operandi sama.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan individu yang menyamar sebagai polis atau sebagainya.
"Orang ramai boleh menyemak nombor telefon atau nombor akaun mencurigakan melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau aplikasi Check Scammers CCID supaya dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.