ISKANDAR PUTERI: Polis memburu seorang lelaki dikenali sebagai Ramen susulan penahanan seorang individu yang memiliki senjata api buatan sendiri di kawasan Taman Pulai Indah, Kangkar Pulai, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, Ramen atau nama sebenar Mohd. Rahmin Ahmat berusia 33 tahun yang dikehendaki itu menggunakan alamat terakhirnya di 30-A, Jalan Pengkalan Rinting, Batu 5 Tampoi, di sini.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Ramen boleh menghubungi balai polis berhampiran.
“Terdahulu, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun pada pukul 8.10 malam di rumahnya dan merampas pelbagai peralatan iaitu selaras senapang angin buatan sendiri, sepucuk pistol jenis Rev 38 SPL dua inci, sebutir peluru jenis SME 9 milimeter (mm) dan tiga butir peluru .38 SPL.
“Polis kini sedang giat mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai Ramen,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata, suspek yang ditahan mempunyai satu rekod lampau atas kesalahan jenayah dadah dan ujian saringan air kencing dijalankan mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.
“Bagaimanapun, tujuan suspek memiliki senjata api terbabit masih dalam siasatan polis,” katanya.
Suspek kini direman selama tujuh hari mulai semalam hingga 31 Januari bagi siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.