Bernama
CoronaVac
telah didaftarkan dan diluluskan untuk kegunaan semasa kecemasan
di
China, Chile, Brazil, Indonesia dan Turki. - Gambar hiasan
SHAH ALAM:
Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) akan membekalkan 12 juta dos vaksin
CoronaVac COVID-19 kepada Kementerian Kesihatan susulan permeteraian
satu perjanjian oleh kedua-dua pihak pada Selasa.
Perjanjian
itu dimeterai oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba sebagai
mewakili kementeriannya dan Pharmaniaga diwakili oleh Pengarah Urusan
Kumpulannya Datuk Zulkarnain Md Eusope.
Zulkarnain
berkata Pharmaniaga menjangka menerima bekalan pertama CoronaVac
daripada Sinovac Lifesciences Co Ltd (Sinovac) dari China bulan depan
dan vaksin itu akan tersedia kepada rakyat Malaysia pada akhir Mac atau
awal April.
"Pharmaniaga berbesar hati
dengan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan untuk membekalkan vaksin
kepada kemudahan kesihatan kerajaan. Kami akan mengendalikan proses
pembotolan (fill and finish) CoronaVac serta mengendalikan logistik dan
pengedaran vaksin itu ke hospital, klinik dan kemudahan lain yang
ditetapkan kerajaan.
"Anak
syarikat milik penuh kami, Pharmaniaga LifesSience Sdn Bhd (PLS) akan
membotolkan CoronaVac di kilang Small Volume Injectable diperakui GMP
dan Kesatuan Eropah yang digunakan semula bagi projek ini," katanya
dalam satu kenyataan.
Beliau
berkata urusan logistik dan pengedaran akan dikendalikan oleh
Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB), yang memiliki pengalaman selama 26
tahun menguruskan pengedaran vaksin dan memiliki prasarana canggih
untuk menyokong keperluan itu.
Memandangkan
situasi yang belum pernah berlaku ini, Pharmaniaga juga meningkatkan
aspek keselamatan dari segi logistik vaksin, kata Zulkarnain.
Pada
12 Jan, Pharmaniaga memeterai perjanjian dengan Sinovac untuk
mendapatkan bekalan besar vaksin yang akan melalui proses pembotolan di
kilang berteknologi tingginya.
Perjanjian itu juga termasuk pindahan teknologi kepada syarikat berkenaan.
Zulkarnain
berkata Pharmaniaga berpuas hati dengan keputusan awal daripada ujian
klinikal Tiga Fasa yang dijalankan ke atas orang awam di Turki yang
menunjukkan keberkesanan CoronaVac pada 91.25 peratus.
"Pharmaniaga,
Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
telah mengadakan beberapa perbincangan dengan Sinovac mengenai keputusan
ujian klinikal Fasa Tiga di Indonesia dan Brazil yang dijalankan
menggunakan reka bentuk kajian berbeza tetapi mengikut standard dan
garis panduan ketat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Di
Brazil, sebagai contoh, ujian klinikal dijalankan hanya ke atas
kumpulan profesional penjagaan kesihatan. Pharmaniaga berpuas hati
dengan keputusannya terutamanya apabila CoronoVac merupakan satu-satunya
vaksin dalam pasaran yang mengambil langkah berani sedemikian untuk
menjalankan kaji selidik dalam persekitaran kumpulan yang mudah
dijangkiti.
"Kami sangat yakin CoronaVac selamat, berkesan dan berkualiti tinggi bagi kegunaan rakyat Malaysia," katanya.
Zulkarnain
berkata CoronaVac telah didaftarkan dan diluluskan untuk kegunaan
semasa kecemasan di China, Chile, Brazil, Indonesia dan Turki yang mana
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Indonesia Joko Widodo
telah mengambil vaksin itu.
"Meskipun
wujud perkembangan yang menggalakkan mengenai penggunaan CoronaVac, kita
perlu mematuhi peraturan di Malaysia dan biarlah Bahagian Regulatori
Farmasi Negara (NPRA) mengkaji semula surat-surat dan dokumen berkaitan
vaksin itu yang telah dihantar baru-baru ini.
"Tertakluk
kepada kelulusan NPRA, Insya-Allah, kami akan menyediakan vaksin untuk
rakyat pada akhir Mac atau awal April," katanya.
Beliau
berkata, sebaik sahaja CoronaVac berdaftar dengan NPRA, PLS akan
menjadi pemegang pendaftaran produk dan pengedar eksklusif, yang
diberikan kebenaran oleh Sinovac untuk keluaran siap pasaran Malaysia
yang dikeluarkan di peringkat tempatan atau import dari China bagi
kerajaan dan sektor swasta.
Dalam
makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Pharmaniaga berkata PLS telah
menghantar permohonan untuk mendaftar dengan NPRA pada 19 Jan, 2021.
Katanya,
PLS telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan bagi pembelian dan
pengedaran COVID-19 Coronavac, SARS-COV-2 Vaccine (Vero Cell)
Inactivated untuk dibekalkan ke hospital, klinik dan kemudahan-kemudahan
lain di seluruh negara seperti diarahkan oleh Kementerian Kesihatan.
"Pembekalan
vaksin COVID-19 yang telah selesai adalah tertakluk kepada pendaftaran
dengan pihak berkuasa kawalan ubatan dan memenuhi semua syarat
peraturan," katanya.
Menurutnya,
perjanjian itu akan berkuat kuasa mulai 26 Jan 2021 dan dilaksanakan
dalam tempoh setahun, tertakluk kepada penamatan lebih awal oleh
mana-mana pihak yang gagal mematuhi obligasi atau selepas membuat
perjanjian muktamad.
Pharmaniaga berkata
CoronaVac merupakan jenis vaksin virus tidak aktif yang terdiri daripada
zarah-zarah virus yang hidup dalam kultur dan kemudiannya hilang
keupayaan untuk menghasilkan penyakit.
Vaksin
jenis ini boleh dipercayai dan teknologinya telah terbukti sejak
ditubuhkan 40 tahun lepas. Ia juga bersedia untuk digunakan tanpa perlu
dicairkan.
Keadaan penyimpanan dan
pengedaran vaksin ini adalah antara dua hingga lapan darjah Celsius,
iaitu suhu vaksin yang sama digunakan oleh kemudahan sedia ada
Pharmaniaga serta kemudahan penyimpanan di hospital dan klinik kerajaan.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.