Jumaat, 1 Januari 2021

Perang COVID-19 semakin sengit - Dr Noor Hisham.

BH ONLINE
(Gambar fail) Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
(Gambar fail) Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) berharap masyarakat akan terus memainkan peranan melindungi golongan rentan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 pada 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata golongan itu merangkumi orang kurang upaya (OKU), warga emas, Orang Asli, pesakit dialisis dan kanser, serta kumpulan berpenyakit kronik dan berimuniti rendah.

"KKM akan memperkasakan komuniti dan melindungi Zon Hijau, selain mempertingkat kawalan terhadap penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis serta darah tinggi melalui program Peka B40.

"KKM juga akan mempertingkatkan integrasi perkhidmatan kepada rakyat melalui gabungan kerjasama perkhidmatan awam dengan swasta," katanya melalui video dimuat naik dalam laman sesawang rasmi beliau.

Video berdurasi 14 minit 50 saat itu antara lain memuatkan sorotan COVID-19 sepanjang 2020, termasuk bilangan kes dan ventilator, jumlah katil serta ujian prapembedahan telah dijalankan hingga akhir tahun.

Sorotan itu turut menyentuh kerjasama KKM dengan agensi kerajaan lain seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, aplikasi MySejahtera yang dibangunkan untuk mengawasi penularan COVID-19, mempunyai 25.95 juta pengguna berdaftar setakat 23 Disember lalu.

Katanya, 1.38 juta perniagaan turut berdaftar, manakala 2.46 bilion daftar masuk direkodkan, setakat 28 Disember lalu.

Beliau sekali gus mengulangi peringatan mesra kepada masyarakat supaya sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri, kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Kita masih belum menang dan perang COVID-19 ternyata semakin sengit.

"Marilah kita berpadu tenaga dan sama-sama mematuhi segala nasihat serta SOP untuk mengelakkan diri dijangkiti. Semoga pada 2021, kita dipermudahkan dalam segala urusan.

"Selamat Tahun Baharu 2021. Kita jaga kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga masyarakat dan negara kita," katanya.

Video soroton itu boleh ditonton melalui pautan https://kpkesihatan.com/2020/12/31/sorotan-covid-19-sepanjang-2020-dari-.... – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.