Rabu, 27 Januari 2021

Pengutip besi buruk mengaku tak salah amuk, serang polis

Arnee Ahamad Pazir dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh hari ini selepas 
mengaku tidak bersalah atas dakwaan merusuh, merosakkan harta awam dan 
mencederakan seorang anggota polis Ahad lalu.

IPOH: Seorang pengutip besi buruk mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan iaitu merusuh, merosakkan harta benda awam dan mencederakan seorang anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret.

Arnee Ahamad Pazir, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

Bagi pertuduhan pertama, Arnee didakwa melakukan rusuhan pada 11.40 pagi Ahad lalu di Balai Polis Lahat, bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menyebabkan kerosakan pada cermin Balai Polis Lahat pada masa dan tarikh sama bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan ketiga, Arnee dituduh mencederakan seorang anggota polis, Mohamad Anuar Mohd Noor, pada masa dan tarikh, serta lokasi sama, dengan menyerangnya menggunakan topi keledar yang mungkin akan menyebabkan kematian.

Arnee didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan timbalan pendakwa raya Nur Asmaniza Muhamad manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh.

Mahkamah menetapkan 10 Feb sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen manakala tertuduh dibenarkan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.

Terdahulu, Ranjit memohon kepada mahkamah supaya membenarkan ikat jamin yang rendah kerana Arnee hanya bekerja sebagai pengutip besi buruk dan berdepan masalah kewangan.

Katanya, kes itu berpunca daripada salah faham ketika tertuduh mahu mendapatkan penjelasan daripada balai itu berhubung prosedur operasi standard (SOP) di kedai makan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.