KUALA LUMPUR – Pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini merupakan inisiatif-inisiatif yang memberikan kelegaan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan perniagaan yang terjejas terutama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RAMSSOL Group, Cllement Tan berkata, pengumuman Permai tepat pada masanya kerana bantuan itu dapat membantu mengekalkan perniagaan PKS dalam jangka pendek dan peniaga-peniaga di zon-zon yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut beliau, inisiatif-inisiatif seperti perluasan moratorium (pinjaman) dan Program Subsidi Upah yang memberi manfaat kepada 250,000 majikan dan 2.6 juta pekerja tentunya akan memberikan sokongan kewangan yang diperlukan untuk mengekalkan pekerjaan.
“Situasi semasa memaksa kita untuk menjadi kreatif dan inovatif untuk terus beroperasi. Pelbagai geran, pembiayaan dan pembayaran one-off kepada PKS akan mendorong perniagaan kestabilan tenaga kerja, sekali gus memperoleh kelestarian perniagaan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Pakej Permai melibatkan peruntukan bernilai RM15 bilion, menawarkan sebanyak 22 inisiatif berteraskan tiga matlamat utama iaitu memerangi pandemik Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan sangat dihargai rakyat.
Tan menambah, berdasarkan pakej rangsangan sebelumnya, RAMSSOL yakin Permai akan membantu dan melindungi kesejahteraan komuniti perniagaan dan rakyat secara keseluruhan.
”Ini adalah satu set inisiatif komprehensif oleh kerajaan untuk pelbagai sektor, dengan mudah membantu Malaysia untuk merebut dan mencapai pelbagai peluang yang terbuka dalam tempoh PKP ini,” tambahnya.
Sementara itu, Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia, Julia Goh. Li pula berkata, pakej bantuan Permai ini akan meningkatkan inisiatif sedia ada dan mempercepatkan lagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang berkaitan.
Katanya, pakej terbaharu ini menegaskan bahawa sokongan fiskal berterusan untuk mengekalkan pemulihan ekonomi walaupun menghadapi cabaran semasa.
Langkah-langkah sokongan ini termasuk mempercepat pembayaran wang tunai, pembayaran pendahuluan daripada program i-Sinar KWSP, sokongan subsidi upah sebanyak RM1 bilion, geran PKS sebanyak RM650 juta, potongan dan rebat bil elektrik dan pelepasan cukai. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.