Rabu, 27 Januari 2021

MKN tak beri kelulusan, Kerajaan Negeri Larang, Bagaimana Pedati Thaipusam Boleh Berarak? – P Ramasamy


mykmu.net

Perarakan pedati Thaipusam di Pulau Pinang awal pagi ini tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri atau Majlis Keselamatan Negara, kata Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy.

Dia juga mendakwa bahawa kuil Chettiar berani untuk meneruskan perarakan tersebut susulan “campur tangan persekutuan” oleh Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

Pulau Pinang sebelum ini membatalkan perarakan perayaan Thaipusam berikutan penularan wabak Covid-19, dan memohon para penganut agama Hindu supaya bersembahyang di rumah.

Namun, Ramasamy berkata, Kuil Nattukotai Chettiar mengemukakan rayuan untuk mengadakan perarakan setelah kelulusan yang sama diberikan kepada sebuah kuil di Batu Caves.

Ramasamy berkata, kerajaan negeri belum pun membincangkan rayuan kuil itu apabila mereka meminta campur tangan Saravanan.

“Saya difahamkan bahawa kuil Chettiar bertindak berani susulan campur tangan Saravanan.

“Sehingga hari ini, kerajaan negeri dan MKN belum memberikan kelulusan untuk perarakan pedati di Pulau Pinang.

“Apa yang dilakukan kuil Chettiar itu sekarang tidak dapat diterima,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa tindakan harus diambil terhadap mereka kerana melanggar arahan dari kerajaan negeri mahupun MKN.

Ramasamy juga membidas Saravanan atas tuduhan campur tangan dalam urusan kerajaan negeri.

Ketika dihubungi, menteri sumber manusia itu berkata, dia akan menelefon dan menjelaskan perkara itu kepada timbalan ketua menteri Pulau Pinang berkenaan.

Malaysiakini juga telah menghubungi jawatankuasa kuil Chettiar dan MKN untuk mendapatkan ulasan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.