Jumaat, 1 Januari 2021

KKMM fokus percepat penyediaan kemudahan internet di pedalaman tahun ini

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata, kementerian itu mahu 
memastikan kira-kira empat peratus kawasan yang masih tiada capaian internet 
di Pantai Timur dan beberapa lokasi lain di Semenanjung serta pedalaman Sabah 
dan Sarawak mendapat kemudahan internet.

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan memfokuskan usaha mempercepatkan penyediaan kemudahan capaian internet bagi kawasan pedalaman di beberapa tempat Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, tahun ini.

Menterinya Saifuddin Abdullah berkata, walaupun pelbagai inisiatif menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan, namun usaha penyediaan infrastruktur capaian internet harus dipercepatkan.

Beliau berkata, sasaran KKMM adalah untuk memastikan kira-kira empat peratus kawasan yang masih tiada capaian internet di Pantai Timur dan beberapa lokasi lain di Semenanjung serta pedalaman Sabah dan Sarawak, mendapat kemudahan komunikasi itu.

“Kemudahan internet yang perlu disediakan hendaklah praktikal, misalnya rumah panjang di Sarawak tidak sesuai untuk menggunakan gentian optik atau jalur lebar, tetapi sesuai dengan menggunakan satelit.

"(Di Sarawak) saya beritahu MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), kita perlu segera cadangkan, tentukan dan sediakan jenis satelit apa yang sesuai, jangan tunggu cadangan itu datang sendiri,” katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan program bual bicara Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di RTM 1, pagi tadi.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, KKMM menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut menyasarkan usaha memperluaskan jumlah pekerjaan nilai tinggi dalam sektor ekonomi gig.

Katanya, ketika ini perkembangan pekerjaan nilai tinggi dalam sektor ini hanya pada paras 20% dan kementerian itu menyasarkan peningkatan kepada sekurang-kurangnya 40%pada tahun ini.

“Cabaran kita dan MDEC sekarang bukan untuk menarik jumlah pekerja ekonomi gig, kerana jumlah mereka memang ramai, sebaliknya kita mahu menambah peluang pekerjaan nilai tinggi sektor itu,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.