Jumaat, 29 Januari 2021

Jernih berubah hitam berbuih

Amirul Aiman Hamsuddin
 
SUNGAI di Kampung Bagan Sungai Buloh, Jeram dipercayai tercemar hingga airnya bertukar kehitaman dan berbau busuk. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Busuk, hitam dan menjijikkan! Itulah yang dapat digambarkan keadaan sungai di Kampung Bagan Sungai Buloh, Jeram di sini, yang tercemar sejak lima tahun lalu.

Rata-rata penduduk yang juga nelayan menggesa pihak berwajib mengambil tindakan menyeluruh supaya isu pencemaran itu dapat ditangani sepenuhnya.

Bagi Mohd Ismail Ibrahim, 66, warna air sungai yang dahulunya jernih bertukar kehitaman dan berbuih seperti sisa minyak selain berbau seakan bangkai.

Dakwanya, dia pernah memaklumkan perkara itu kepada pihak berwajib, namun tiada tindakan diambil.

"Biasanya, air sungai ini jernih namun ia bertukar hitam akibat perbuatan pihak tertentu melepaskan sisa industri ke dalam sungai.

"Sampai bila kami (nelayan) perlu hadapi masalah tiada noktah ini?" katanya ketika ditemui, semalam.

Susulan itu, katanya, pencemaran yang berlaku berulang-kali mengakibatkan hasil pendapatan nelayan yang rata-rata menangkap ikan dan udang di sungai itu terjejas.

"Sebelum ini, saya yang menjaring udang biasanya boleh dapat 15 kilogram (kg) sehari. Apabila pencemaran berlaku, nak bawa balik satu kilogram udang pun susah," katanya.

Rakannya yang juga pengusaha kebun kerang, Mohd Fadillah Kahar, 35, berkata, pencemaran sungai juga mengancam pembiakan benih kerang di kawasan itu.

PENDUDUK menunjukkan sampel air sungai yang berwarna kehitaman. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
PENDUDUK menunjukkan sampel air sungai yang berwarna 
kehitaman. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

"Saya usahakan kebun kerang seluas 60 hektar di sungai ini. Apa yang merisaukan, pendapatan saya merosot teruk jika dibandingkan dengan (pendapatan) lima tahun lalu.

"Dulu, kebun kerang ini mampu menghasilkan sehingga 80 guni kerang sehari. Malangnya, banyak kerang mati disebabkan pencemaran," katanya.

Seorang lagi nelayan, Yunus Ismail, 49, berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang melakukan pencemaran sungai.

"Kami tidak tahu dari mana punca pencemaran ini. Tapi yang pasti, ia disyaki dilakukan pihak industri yang melepaskan sisa bahan buangan ke dalam sungai ini.

"Sepatutnya, tindakan tegas diambil supaya masalah ini dapat diselesaikan dan seterusnya memberi kesedaran kepada pihak tidak bertanggungjawab agar tidak mengambil jalan mudah dengan membuang sisa bahan industri ke dalam sungai," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Buloh, Rozaimi Zainal berkata, aduan mengenai isu pencemaran sungai yang mengganggu aktiviti 500 nelayan di kawasan itu sudah diajukan kepada pihak berkaitan.

Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli sudah meninjau masalah itu pada 26 Januari lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.