Rabu, 27 Januari 2021

Jangan biar rakyat berteka-teki – Mapim

MGF01092018_Program-Transformasi-Qaryah_02
Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa mendedahkan rakyat kepada ketidaktentuan yang sangat tidak masuk akal apabila memaklumkan akan mempertimbangkan secara menyeluruh kesan-kesan yang mungkin berlaku sebelum memutuskan tindakan selanjutnya selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 berakhir pada 4 Februari ini.

Apabila Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengatakan 2.8 juta orang berisiko hilang kerja jika penutupan penuh ekonomi berlaku, bermakna ada kemungkinan kerajaan sedang berfikir ia sebagai satu pilihan.

Sedangkan risiko kehilangan pekerjaan sekiranya penutupan penuh ekonomi dilaksanakan adalah fakta yang logik dan ia bukan suatu pengumuman yang mengejutkan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan, kesihatan dan ekonomi bukanlah satu pilihan kerana sepatutnya gabungan semua sektor harus dirancang dengan menyeluruh supaya dapat menyelamatkan negara daripada menjadi lumpuh.

Jelas beliau, menukar PKP kepada PKP Bersyarat (PKPB) tidak boleh dilihat secara terpisah, sebaliknya ia mesti digabungkan dalam pelan yang lebih menyeluruh.

Malangnya pelan itu, dakwa beliau masih tidak disediakan akibat kerajaan memilih darurat sebagai pilihan.

Menurutnya, keputusan Majlis Keselamatan Negara perlu berasaskan pelan makro yang jelas daripada hanya membiar rakyat berteka-teki.

Beliau mempersoalkan mengapa sehingga ini pun pelan vaksinasi masih belum diumumkan sedangkan beberapa negara jiran telah pun melancarkan operasi mereka mevaksinasi rakyat masing-masing.

”Ismail Sabri menyebut 2.8 juta rakyat berisiko hilang pekerjaan dan 2.5 juta sukar meneruskan kelangsungan, B40 akan hilang pendapatan dalam tempoh sebulan dianggarkan RM6.4 bilion dengan purata RM2,400 satu keluarga.

”Fakta antara bulan Mac dan Oktober 2020, 13,445 syarikat telah memberhentikan operasi berikutan pelaksanaan PKP sudah cukup parah.

”Padahal ketika itu kerajaan telah mengumumkan pakej bantuan yang diumum oleh perdana menteri bernilai puluhan bilion ringgit untuk membantu rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Azmi turut mempersoalkan kenapa wujud rayuan beberapa sektor perniagaan seperti tukang gunting rambut, peniaga pasar malam dan pengusaha cuci kereta untuk dibenarkan beroperasi semula.

Ini bermakna keputusan dibuat tanpa menghalusi semua sektor.

”Kami pelik kenapa Ismail Sabri memberi respons terhadap hal ini dengan mengatakan isu ini akan dibincangkan dalam mesyuarat pada waktu terdekat, sedangkan hal ini sepatutnya telah difikir masak-masak.

”Ketidaktentuan kerajaan akan mencetuskan ketidakyakinan rakyat. Ketiadaan pelan makro yang jelas menandakan rakyat terpaksa melakukan tindakan sendiri untuk survival hidup,” tegasnya.

Oleh itu, Mapim menggesa semua wakil rakyat dipanggil untuk bersidang khas di Parlimen supaya konsensus dicapai kerana wakil rakyat tidak boleh dibiar menganggur tanpa berperanan dan terlibat dalam pemulihan negara dalam krisis ini.

Mapim turut menggesa 70 anggota Kabinet dan timbalan menteri tidak dilihat bergaji lumayan sedang rakyat terkapai-kapai menunggu penyelesaian masalah harian untuk hidup.

Ini kerana pendekatan inklusif rentas parti sudah tidak boleh ditangguh. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.