Rabu, 27 Januari 2021

Hospital Bintulu terima sumbangan peralatan ujian COVID-19

BINTULU: Keupayaan Hospital Bintulu untuk menjalankan ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) COVID-19 dipertingkatkan dengan penerimaan peralatan ujian itu yang disumbangkan Press Metal Bintulu Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Paul Koon Poh Keong, berkata difahamkan kapasiti semasa ujian makmal di Hospital Bintulu ketika ini ialah 300 ujian COVID-19, sehari.

Beliau berkata, dengan peralatan PCR Test Kit bernilai RM435,950 yang disumbangkan itu, kapasiti ujian makmal di hospital berkenaan mampu ditambah sebanyak 288 sehari.

"Pihak pengurusan Press Metal memandang serius peningkatan kes COVID-19 di negara ini dan global.

"Oleh itu, sumbangan ini diharap dapat membantu Hospital Bintulu menjalankan ujian saringan dengan lebih pantas dan membantu membendung penularan wabak itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Poh Keong berkata, beliau berharap peralatan ujian itu dapat membantu pihak hospital mengatasi kekurangan dalam menjalankan ujian saringan COVID-19 dan mengurangkan kebergantungannya kepada hospital lain.

"Dengan meningkatkan tahap kecekapan ujian saringan COVID-19, Press Metal berharap inisiatif ini akan mendorong perusahaan lain terutama pemain industri mencontohi usaha ini sebagai sokongan kita kepada petugas barisan hadapan dan bekerjasama dengan mereka untuk menjadikan Malaysia selamat daripada ancaman pandemik COVID-19," katanya.

Beliau berkata, usaha dan inisiatif itu dijangka dapat membantu meringankan beban kerja yang dihadapi petugas barisan hadapan untuk mengawal keadaan dan membendung pandemik itu daripada terus merebak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.