Rabu, 30 Disember 2020

Turap sendiri jalan tak ikut spesifikasi undang bahaya

azrulhakimie

 

Orang ramai diminta tak tampal sendiri lubang dikhuatiri berisiko kepada lain

IPOH – Orang ramai diminta tidak menurap atau menampal sendiri lubang pada jalan raya, kerana dikhuatiri akan mendatangkan risiko kepada pengguna yang lain.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, tindakan tersebut boleh mengundang bahaya kerana ia dibuat tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Ini sepatutnya tidak berlaku kerana setiap pembinaan jalan ada spesifikasi tersendiri. Jangan ambil tindakan tidak mengikut spesifikasi, kerana nanti rosak sikit akan jadi besar dan bahaya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mahasiswa terkesan dengan penularan wabak COVID-19 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai beberapa tular yang menunjukkan orang awam bertindak menutup jalan berlubang, kerana bimbang dengan keselamatan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.

Selain itu, Saarani berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak berjaya menyelesaikan sebanyak 685 daripada 705 aduan berkaitan kerosakan jalan raya sepanjang tahun ini, di semua 12 daerah seluruh negeri dengan kebanyakannya berkaitan penyelenggaraan.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata seramai 1,200 mahasiswa anak Perak khususnya daripada keluarga B40 yang terjejas dengan COVID-19 layak menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM150 seorang.

Katanya pembayaran secara dalam talian dibuat mulai 18 Dis lepas sehingga Jan 2021 kepada pelajar yang layak, sama ada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta.

“Seramai 7,613 penuntut memohon bantuan tersebut sejak ia dibuka pada Okt lalu, yang dijalankan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) dengan kerjasama Majlis Perundingan Mahasiswa Perak serta Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung,” katanya.

Saarani menjelaskan antara kriteria utama untuk layak bantuan itu adalah keluarga mahasiswa mempunyai pendapatan isi rumah di bawah paras kemiskinan, dan mereka terjejas akibat penangguhan pendaftaran di IPT masing-masing.

“Kerajaan negeri berharap usaha ini dapat mengurangkan beban serta menampung keperluan tambahan mahasiswa, seperti membeli data mudah alih dan keperluan akademik,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.