Rabu, 2 Disember 2020

Tiga inisiatif bendung COVID-19 di Selangor

BH ONLINE
Selangor melaksanakan tiga inisiatif bendung COVID-19. FOTO NSTP
Selangor melaksanakan tiga inisiatif bendung COVID-19. FOTO NSTP

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor melaksanakan tiga inisiatif bagi membendung penularan COVID-19 termasuk program isolasi pekerja Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata sehingga hari ini seramai 9,056 atau 82 peratus daripada 11,000 pekerja tempatan dan warga asing di bahagian kargo menjalani ujian saringan dengan hanya tujuh kes, kesemuanya warga tempatan, dikesan positif sejak Khamis lalu.

"Kos saringan akan ditanggung pihak syarikat manakala separuh kos penempatan dalam program isolasi pekerja dari 26 November hingga 9 Disember ini akan ditanggung kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata inisiatif kedua pula ialah mengenal pasti lima lokaliti bagi menempatkan Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) COVID-19 dan ketiga meningkatkan penyelarasan dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) supaya saringan pekerja asing dilakukan dengan kadar segera.

Katanya, PKRC menempatkan pesakit positif yang tidak bergejala supaya dapat mengurangkan bebanan dan kepadatan pesakit di hospital COVID-19 sedia ada.

Bagi usaha terakhir, Amirudin berkata, kerajaan negeri mengarahkan Jawatankuasa Keselamatan Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk membuat penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta PKD supaya saringan pekerja asing dilakukan dengan kadar segera.

Langkah itu dilaksanakan seperti yang diputuskan kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, walaupun berlaku peningkatan kes COVID-19 di negeri ini, namun keadaan masih lagi terkawal.

"Ini kerana kes terbaru itu didapati di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan kerajaan negeri percaya pelaksanaan langkah itu akan dapat mengurangkan risiko penyebaran wabak itu.

"Semua inisiatif yang disebutkan memperlihatkan komitmen serius kerajaan negeri dalam usaha menjamin penularan pandemik ini dapat dikawal dan dikekang sepenuhnya," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.