IPOH: Polis menahan 22 warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan sindiket penipuan Macau Scam dalam serbuan di premis yang menjadi pusat operasi panggilan mereka di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Zainuddin Yaacob berkata 19 lelaki dan tiga wanita yang berumur 20 hingga 46 tahun ditahan dalam serbuan semalam.
“Hasil siasatan mendapati, sindiket ini sudah beroperasi lebih kurang dua tahun lalu dan bergiat aktif sejak April 2018.
“Beberapa individu dalam kumpulan ini menjalani latihan seminggu di Kemboja dan kemudian bekerja di Laos sejak pertengahan 2018 hingga Mac 2020 dan kembali ke Malaysia pada Mei 2020 berikutan pandemik Covid-19.”
Katanya, setiap anggota sindiket menerima elaun RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, dengan makanan dan tempat tinggal disediakan.
Beliau berkata, kumpulan sindiket terbabit mula menjalankan kegiatan mereka di sebuah rumah transit di Menglembu, dekat Ipoh sebelum berpindah ke Taiping sehingga bulan lalu.
Zainuddin berkata, kumpulan itu menghentikan operasi di Taiping dan berpindah ke sebuah premis yang dijadikan pusat panggilan di bandar raya ini pertengahan bulan ini sehingga serbuan semalam.
“Sindiket ini menggunakan aplikasi komunikasi terkini di pasaran sebagai medium komunikasi mereka dan laman web palsu untuk mendapatkan maklumat mangsa yang disasarkan.
“Sindiket ini juga menggunakan portal MyEG, JPJ dan SPR untuk mendapatkan maklumat lebih mendalam serta melakukan penyamaran sebagai pegawai khidmat pelanggan Telekom Malaysia dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang operasi sindiket berkenaan, ia mengakibatkan kerugian RM360,000 kepada mangsa.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan
yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau
kedua-duanya dan turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA)
1959.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.