KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersedia menanggung kos pengurusan dan penghantaran pulang jenazah bakal pengantin yang ditemukan lemas di tepi pantai Kampung Alur Tuman di sini, pagi ini.
Mangsa, Naim Hariri Kamaruddin, 31, yang dijadual melangsungkan perkahwinan semalam, bagaimanapun hilang ketika mandi laut di Pantai D' Marang Village, Kelulut dekat sini, petang kelmarin.
Mayat mangsa yang berasal dari Cheras itu, ditemukan pasukan penyelamat terdampar di tepi pantai Kampung Alur Tuman, Marang, jam 8.55 pagi tadi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan lemas.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, pihaknya akan menanggung kos penghantaran pulang jenazah Naim Hariri ke Kuala Lumpur sekiranya dipersetujui keluarga arwah.
"Perasaan sayu, namun syukur Allahyarham Naim Hariri Kamaruddin yang dilaporkan hilang telah ditemukan sebentar tadi.
"Takziah diucapkan buat keluarga mangsa. Doakan keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi kehilangan orang tersayang.
"Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang akan menanggung kos pengurusan dan penghantaran pulang jenazah sekiranya dipersetujui keluarga arwah," katanya menerusi akaun Facebook rasminya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.