PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengingatkan acara sambutan, termasuk ambang 2021, yang melibatkan kehadiran pengunjung yang ramai hingga menyukarkan penjarakan sosial tidak dibenarkan.
Pihaknya bagaimanapun tidak melarang mana-mana individu untuk menyambut tahun baharu secara bersendirian atau bersama ahli keluarga dalam jumlah yang kecil di kediaman masing-masing.
“Sambutan secara bersendirian memang kita tidak larang, tetapi sambutan secara perhimpunan kita tidak benarkan.
“Perhimpunan melibatkan orang yang ramai masih dalam senarai larangan. Dulu ada sambutan ambang tahun baharu di KLCC, perkara itu memang tidak dibenarkan.
"Hal ini kerana, ia melibatkan perhimpunan ramai dan dalam keadaan itu memang sukar untuk mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya pada sidang media hari ini.
Ismail juga tidak menolak kemungkinan kebenaran rentas daerah dan negeri ketika ini akan ditarik semula selepas mendapat pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) susulan peningkatan tinggi kes jangkitan COVID-19.
“KKM juga sedang buat penilaian mereka. Apabila kita buka untuk rentas negeri dan daerah, mereka buat penilaian setiap dua minggu sekali. Mungkin kita perlu lihat semula kalau kes semakin meningkat dan KKM juga merasakan perlu lihat semula SOP. Kita akan tengok.
“Salah satu sebabnya mungkin kerana kegagalan ramai pihak patuh pada SOP.
“Dahulu kita benarkan kuarantin di rumah kepada rakyat yang pulang dari luar negara, tetapi akhirnya kita batalkan kerana ramai yang gagal patuh (SOP),” katanya.
Ketika ditanya sama ada Putrajaya merancang untuk melaksanakan semula sekatan jalan raya di seluruh negara, Ismail berkata pihaknya akan mendapatkan pandangan KKM terlebih dahulu.
“Keputusan dibuat setelah kita dapatkan pandangan KKM. Setakat hari ini, masih kekal seperti yang diumumkan, rentas daerah dan negeri masih dibenarkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.