JOHOR BAHRU – Seorang remaja lelaki bersama bapanya maut selepas kereta Perodua Alza yang dinaiki mereka terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Jalan Felda Bukit Batu, Kulai, pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Kulai Pegawai Bomba Kanan II KUP Firdaus Juritah berkata Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya itu melalui talian MERS999 pada 6.45 pagi.
“Seramai tujuh anggota bomba bersama satu jentera bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati pemandu kereta Mohamad Khairul Hasan, 34, dan anaknya, Mohd Khairil Akmal, 13, masing-masing tersepit di kerusi pemandu dan penumpang hadapan selepas kenderaan mereka itu melanggar sebatang pokok akasia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Firdaus berkata kedua-dua beranak itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi dan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mereka dari kereta tersebut dengan menggunakan peralatan khas.
Beliau berkata mayat mereka kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi membabitkan bomba kemudian tamat sepenuhnya pada 7.30 pagi.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.