PETALING JAYA: Sebuah pusat hiburan di Jalan PJU 7/3 di sini, yang beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diserbu dan 18 individu termasuk pemilik premis dikompaun, malam tadi.
Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 11 malam, terdapat 17 pengunjung termasuk empat wanita, kesemuanya warga tempatan sedang leka berhibur dan minum arak.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata pemeriksaan mendapati tiada penjarakan fizikal dilaksanakan di premis itu selain beroperasi tanpa lesen pusat hiburan yang sah.
"Semakan lanjut turut mendapati premis hiburan itu juga tidak mempunyai lesen menjual minuman keras.
"Siasatan awal mendapati pemilik premis menerima komisen untuk menjalankan operasi dengan bayaran RM2,000 sebulan dan menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga tempatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, menerusi serbuan itu juga, sebanyak 13 botol arak pelbagai jenama dirampas selain beberapa peralatan audio.
"Pemilik dikenakan tindakan mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 dan Seksyen 76 Akta Esais 1976.
"Selain itu, kesemua pengunjung serta pemilik premis dikenakan kompaun RM1,000 mengikut Seksyen 3 dan 11(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998," katanya.
Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas individu yang ingkar arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan berkumpul atau berhibur ketika PKPB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.