KUALA LUMPUR: Polis menerima enam laporan kes rogol dan cabul hari ini, membabitkan seorang pendakwah selebriti yang direman selama lima hari berakhir esok, bagi membantu siasatan kes rogol lain pada tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata pihaknya menerima lima laporan itu di Shah Alam dan satu di Petaling Jaya.
"Suspek itu akan tamat reman untuk kes pertama pada 1 Disember. Namun, beberapa laporan baharu diterima hari ini. Suspek akan dimohon reman untuk siasatan kes yang baru diterima.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) kerana rogol, 354 KK (cabul), 377C KK (seks luar tabii) dan 323 KK (mencederakan).
"Polis menyeru sekiranya ada wanita lain yang menjadi mangsa supaya jangan berasa bimbang tampil membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada Jumaat lalu, pendakwah selebriti yang didakwa merogol seorang wanita pada September tahun lalu, direman lima hari berakhir esok.
Perintah reman terhadap suspek berusia 25 tahun yang juga bekas peserta rancangan realiti televisyen berbentuk keagamaan itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah, Mohd Zamir Suhaimee.
Suspek ditahan kira-kira jam 11 malam Khamis lalu, selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, dipetik berkata suspek ditahan selepas mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan pada jam 7.18 malam hari sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.