Pengguna juga disaran semak pengesahan halal melalui kod QR
BANGI – Blok rantai adalah antara teknologi wajar dimanfaatkan pada zaman Revolusi Industri 4.0.
Dr Mohd Farhan Md Ariffin yang mengesyorkan perkara itu berkata, teknologi itu digunakan bagi membendung isu sindiket kartel daging import, membabitkan aktiviti pemalsuan pelabelan logo halal daripada terus berulang.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, setiap maklumat halal produk halal akan disahkan dalam pangkalan data halal melalui teknologi berkenaan.
“Oleh itu, maklumat produk sepanjang rantai makanan bermula pengesahan badan berautoriti, pembekal bahan mentah, pengeluar, pemborong, logistik dan peruncit akan diketahui secara telus,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.
Mengulas mengenai perkara sama, Mohd Farhan turut mencadangkan, pengguna boleh membuat semakan pengesahan halal dan memberi maklum balas dengan mengimbas kod QR menggunakan telefon pintar.
Paling tidak, katanya, pengguna juga perlu menggunakan kod hologram khusus bagi setiap produk halal supaya tidak mudah dipalsukan.
Katanya, ia sama seperti dipraktikkan pada produk susu dan klinikal masa kini.
“Antara lain, kita wajar memperketatkan syarat permohonan pensijilan halal, mewujudkan label halal berbeza bagi produk import, memboikot daging import dari negara tidak peka atau meragukan serta pemantauan lebih kerap terhadap syarikat berisiko tinggi,” katanya.
Sebelum ini, negara didedahkan dengan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.
Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.
Tindakan itu dibuat bagi menyakinkan pemborong di Malaysia kononnya bekalan daging sejuk beku itu diperoleh dari negara yang dibenarkan pengimportannya sebelum dipercayai diedar ke pasaran tempatan.
Terdahulu, Berita Harian melaporkan kartel berkenaan menubuhkan syarikat proksi di negara ini dan dinamakan dengan nama berunsur Islamik dan keMelayuan yang boleh meraih keyakinan pengguna Islam.
Kegiatan syarikat dinyatakan dalam pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula adalah mengimport bekalan daging, namun ada juga kegiatan yang dinyatakan langsung tiada kaitan dengan industri berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.