REMBAU: Makam yang dianggarkan berusia lebih 400 tahun ditemukan di sebuah perkampungan dekat Chengkau baru-baru ini.
Presiden Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Tanah Beradat Negeri Sembilan, Datuk Nazri Kamal Al-Bentan berkata, makam berkenaan terletak di halaman rumah penduduk dan kira-kira 100 meter dari Sungai Penajis yang dahulunya menjadi laluan pelabuhan.
Menurutnya, berdasarkan bentuk batu nisan Aceh yang ditemukan berkenaan ia dipercayai milik seorang wanita yang merupakan tokoh penting Kesultanan Aceh.
“Buat masa ini di daerah Rembau yang dahulunya merupakan sebuah kerajaan yang kuat dan hebat sudah ditemukan empat buah makam yang terdapat batu nisan Aceh. Tiga lagi makam adalah Makam Raja Melewar, Makam Datuk Bungkal dan Makam Tok Tua.
“Penemuan terbaharu ini telah saya maklumkan kepada Jabatan Warisan Negara bagi tujuan kajian lanjut serta pemuliharaan agar warisan sejarah ini dapat terus dijaga serta diwarisi kepada generasi akan datang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Chengkau, dekat sini, baru-baru ini.
Nazri berkata, kebanyakan batu nisan Aceh yang ditemukan tidak sempurna dan penemuan terbaharu ini masih lagi lengkap setelah ia dibersihkan kira-kira seminggu lalu.
Menurutnya, ia ditemui hampir tertanam di halaman rumah penduduk yang mana di lokasi berkenaan juga terdapat lebih 10 kubur dengan nisan batu megalith.
“Saya yang kebetulan melalui kawasan ini tergerak hati untuk membersihkan batu nisan yang hampir tertanam itu dan terkejut apabila mendapati batu nisan Aceh yang masih lengkap ditemukan di sini.
“Ini merupakan penemuan sejarah yang sangat bernilai dan perlu dikaji lebih-lebih lagi Rembau merupakan sebuah kerajaan yang terlebih dahulu wujud sebelum adanya Negeri Sembilan,” katanya.
Jelasnya, sudah tertulis dalam sejarah peperangan antara kerajaan Rembau dengan Portugis dan Belanda yang mana ia pernah menghulurkan bantuan menyerang penjajah di Melaka.
Sementara itu, seorang penduduk, Zaimah Said Ali, 70, berkata, keluarganya sememang sudah menetap di perkampungan berkenaan sejak 1920-an namun dia tidak mengetahui dengan jelas milik siapakah makam yang terletak di halaman rumah keluarganya itu.
“Kalau ikut cerita arwah mak (Catun Zakaria), ia milik seorang perempuan yang berasal daripada keturunan baik-baik. Emak juga berkongsi sejarah penduduk di perkampungan berkenaan juga tidak pernah diganggu oleh askar Jepun.
“Memang masa zaman Jepun dulu penduduk sanggup lari masuk ke dalam hutan tapi di sini, askar Jepun hanya lalu sahaja dan tidak menganggu penduduk,” katanya.
Uarnya, mungkin pada pandangan askar Jepun seolah-olah ‘tertutup’ sedangkan di perkampungan berkenaan terdapat kira-kira 11 buah rumah penduduk.
“Itu antara cerita yang dikongsikan oleh orang tua-tua dahulu tetapi kami langsung tidak tahu asal usul makam ini.
“Kalau ada pihak berkaitan dapat mengkajinya itu lebih baik kerana kami dapat mengetahui tokoh ini serta jasanya buat kerajaan Rembau suatu masa dahulu,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.