GOMBAK – Sindiket curi ekzos kenderaan bagi menghasilkan emas putih semakin menjadi-jadi.
Dalam satu serbuan Pasukan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berjaya menahan sekumpulan 15 orang termasuk dua warga Bangladesh yang disyaki aktif terlibat dalam jenayah tersebut.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak melakukan siasatan selepas menerima beberapa laporan serta melakukan risikan dan serbuan di Gombak, Rawang serta Sentul pada 27 November lalu.
Katanya, kesemua suspek berkenaan adalah berumur antara 27 tahun hingga 56 tahun disyaki terbabit dalam kegiatan itu termasuk seorang pemilik premis besi buruk ditahan dan direman untuk membantu siasatan.
“Hasil serbuan, polis merampas pelbagai jenis tabung ekzos kenderaan yang dicuri selain menjumpai semula ekzos-ekzos kenderaan dari kereta hinggalah bas dan lori yang sudah dipotong dan dijual di premis besi buruk serta kedai lerai komponen kenderaan.
“Suspek dipercayai menjual ekzos berkenaan pada harga antara RM500 sehingga RM2,000 mengikut jenis ekzos.
“Malah soal siasat dilanjut terhadap saspek mendakwa kononnya Tabung Ekzos Naza Ria memiliki kandungan bahan paladium, rodium dan platinium yang dicampur dengan bahan kimia tertentu untuk menghasilkan emas putih selain mendakwa ekzos terbabit boleh digunakan untuk melenturkan barang berharga,'” kata dalam sidang media hari ini.
Beliau juga mendakwa melakukan kegiatan jenayah itu biasanya dilakukan pada waktu malam dan awal pagi di kawasan tempat letak kereta yang gelap dan jauh daripada penempatan orang atau kenderaan yang diparkir di luar premis dan kediaman.
Malah kata Arifai, mereka menggunakan jet tayar untuk mengangkat kenderaan sebelum terlibat dalam kerja memotong ekzos dan melarikannya.
Menurutnya, polis masih menyiasat pembabitan kumpulan itu dan percaya ada pemilik kenderaan yang tidak tampil membuat laporan polis mengenai kehilangan ekzos kenderaan mereka berkemungkinan menganggap ekzos kenderaannya terjatuh.
“Kesemua suspek direman sehingga hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan akan disambung reman kelak,” tegasnya.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.