Khamis, 31 Disember 2020

Ketuk, lerai tembaga curi dalam longkang

Ramli Ibrahim

SIK (kanan) menunjukkan tembaga dirampas daripada suspek. FOTO RAMLI IBRAHIM

Gua Musang: Bunyi pelik dari longkang besar di sekolah menengah di Sungai Asap, dekat sini, membongkar aktiviti mencuri dawai dan tembaga di sekolah berkenaan.

Malah, turut ditemui di 45 kilogram (kg) tembaga di dalam longkang itu pada pagi Selasa lalu, sekali gus meleraikan misteri kehilangan tembaga lintas pintas yang berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian itu disedari seorang tukang kebun sekolah terbabit.

Beliau berkata, ketika tukang kebun itu sedang membersih persekitaran sekolah itu 9 pagi, dia terdengar bunyi orang mengetuk besi dalam longkang besar.

"Tukang kebun terbabit menjenguk dalam longkang itu dan ternampak seorang lelaki sedang mengetuk tembaga untuk dimasukkan dalam guni.

"Di sisi lelaki terbabit itu didapati sejumlah tembaga yang siap dimasukkan dalam guni untuk dijual," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Gua Musang di sini, hari ini.

Sik berkata, sebaik tukang kebun itu ternampak suspek yang sedang mengetuk tembaga itu, dia memanggil pengawal keselamatan bertugas di sekolah.

Beliau berkata, suspek yang tidak sempat melarikan diri diberkas tukang kebun itu bersama pengawal keselamatan sebelum diserah kepada polis.

"Hasil siasatan mendapati suspek sudah tiga kali mencuri tembaga lintas pintas sekolah itu dan ditangkap dalam kejadian kali empat.

"Sebanyak 45kg tembaga yang dirampas bernilai RM30,000 dan turut dirampas pelbagai peralatan digunakan untuk tujuan itu.

"Suspek berusia 24 tahun yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.