Rabu, 30 Disember 2020

Kenapa mahu roboh gerai peniaga masa Covid-19? – Noh

MGF29122020_NOH-OMAR-6
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar ketika membuat lawatan ke tapak gerai yang telah dirobohkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Puchong Permai, Selangor. Foto AFIQ HAMBALI,

PUCHONG – Badan Perhubungan UMNO Selangor mempersoalkan tindakan kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merobohkan gerai makan milik sekumpulan 43 penjaja di Puchong Permai ketika rakyat sedang bergelut dengan Covid-19.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar melahirkan rasa kesal dengan tindakan terburu-buru itu sambil menyifatkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai buta, tuli dan pekak kepada masalah rakyat.

“Mengapa Menteri Besar ini? Pekak ke? Buta ke? Tak dengar ke? Tak lihat apa yang berlaku?

“Datuk Bandar ini dia pun tak guna otak ker? Ini masalah rakyat, kamu kena turun kena tengok. Nak roboh boleh, nak ambil tindakan boleh tapi jangan sekarang.

“Ini waktu Covid-19, rakyat tengah susah, orang yang tiada modal kita kena bagi berniaga,” katanya kepada pemberita selepas turun padang ke kawasan gerai makan di Puchong Permai hari ini.

MGF29122020_NOH-OMAR-9
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh 
Omar ketika sidang media selepas membuat lawatan ke tapak 
gerai yang telah dirobohkan Majlis Bandaraya Subang Jaya 
(MBSJ) di Puchong Permai, Selangor. Foto AFIQ HAMBALI,

Isnin lalu, lebih 100 anggota penguat kuasa termasuk MBSJ, PDRM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terlibat dalam operasi perobohan gerai-gerai makan milik 43 penjaja kecil di Puchong Permai, di sini.

Operasi yang bermula kira-kira jam 8 pagi tadi bermula agak kecoh apabila sekumpulan penjaja terbabit terpaksa bergelut dengan penguatkuasa yang bertindak melakukan perobohan gerai makan yang diusahakan sejak 20 tahun lalu.

Dalam pada itu, Noh juga menyifatkan tindakan perobohan gerai makan yang diusahakan hampir 20 tahun itu sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan.

“Sebab itu rakyat dah jemu dengan Kerajaan PH, kalau macam ini perangai PH yang Menteri Besar, Exco dan ADUN kepada kawasan ini tidak prihatin masalah rakyat, pergi belajar dengan Tan Sri Annuar Musa.

“Bagaimana dia beri peluang kepada peniaga-peniaga sebab rakyat tengah susah, kena faham rakyat tengah menderita.

“Ini kerajaan zalim, sebab itu kerajaan PH tak lama memerintah di pusat, sebab zalim, dah la janji, zalim pula kepada rakyat,” katanya.

Lebih menyedihkan apabila penempatan baharu buat 43 peniaga makan itu mempunyai keluasan hampir sama dengan saiz parkir kenderaan tanpa kemudahan asas.

“Tempat saya tengok itu (kiosk MBSJ) macam parkir kereta saja, guna lah otak sikit. Pegawai-pegawai MBSJ yang buat kiosk ini pernah berniaga ker?

“Kalau tidak, patut tanya pendapat peniaga, adakah sesuai nak buat tapak baharu yang elektrik tiada, air tiada, berniaga pula ikut tiga shift secara bergilir-gilir, tempat masak pun tiada.

“Kalau nak buat satu pembaharuan okay tapi sebelum buat pembaharuan, dengarlah pendapat dan masalah peniaga,” tegasnya.

Sehubungan itu beliau mencabar Amirudin dan Datuk Bandar Subang Jaya, Noriani Roslan untuk mengadakan perjumpaan dan dialog bersama pihaknya esok.

“Saya nak cabar Datuk Bandar saya sendiri akan pergi ke Datuk Bandar. Kalau Menteri Besar anak jantan, datang sekali saya nak jumpa sekali, saya nak cabar Menteri Besar.

“Kalau Datuk Bandar bukan orang politik, Menteri Besar kena datang, Khamis kita minta jumpa (esok) saya nak cabar Menteri Besar, Exco atau siapa pun datang Khamis berdepan dengan kita, kita berdialog.

“Kita nak ajar kamu macam mana nak memerintah. Kalau tak nak belajar dengan Wilayah Persekutuan, kita nak sekolahkan dia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.