Jumaat, 25 Disember 2020

Kartel daging haram: Dedah jenama supaya umat Islam tak salah beli

Siti Hafidah

 

Berhenti beli produk jenama diragui, mula sokong gerakan BMF

BANGI – Pihak berkuasa diminta mendedahkan jenama produk daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya yang dijual di pasaran tempatan.

Saranan itu disuarakan Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari bagi memastikan sensitiviti umat Islam dapat dijaga.

“Kita semua mahu pihak berkuasa untuk dedahkan segera, jenama produk daging yang didapati status halalnya diragui.

“Kita gesa, pihak berkuasa telus dan dedahkan segera jenama daging tersebut sebelum lebih ramai umat Islam tersalah beli,” katanya menerusi catatan ringkas di Facebook hari ini.

Pada masa sama, beliau yang juga Pengerusi Amal Sejagat Malaysia menggesa umat Islam berhenti membeli daging sejuk beku yang jenamanya diragui.

“Bukan daging lembu tetapi takut-takut daging kangaroo,” katanya sambil menyarankan golongan muslim mengutamakan produk keluaran muslim.

Pada 1 Disember lalu, media melaporkan sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, Johor Bahru, Johor diserbu pihak berkuasa hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup daging sejuk beku.

Kartel berkenaan dipercayai menjadikan sebuah gudang di Senai sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.