CHUKAI: Sepasang kekasih berstatus janda dan duda dihukum penjara sebulan serta denda RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kemaman, semalam, kerana berkhalwat.
Wanita berusia 22 tahun dan pasangannya yang berumur 34 tahun itu turut berdepan hukuman penjara dua bulan lagi jika mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.
Hakim Syarie Mohd Fakhruddin Yusof membuat keputusan itu selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.
Terdahulu, Mohd Fakhruddin dalam penghakimannya berkata, pesalah wanita dilihat tidak serik kerana masih mengulangi kesalahan sama.
"Kali pertama pada 2017 dan kali kedua pula pada 2018 (kes semalam) yang mana kamu tidak hadir serta lari daripada hadir ke mahkamah seperti diarahkan sehingga kamu ditangkap lagi ketika melakukan perbuatan tidak bermoral, tahun ini.
"Kesalahan ketiga dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana ia adalah satu tempoh amaran dan ujian Allah untuk manusia.
"Sepatutnya awak semakin takut untuk melakukan maksiat dalam tempoh sebegini, dan saya berharap hukuman ini menjadikan masyarakat gerun serta takut untuk mendekati maksiat yang mendatangkan bala kepada seluruh ummah," katanya.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan khalwat di sebuah bilik di Bandar Baru Kerteh, di sini, jam 1.10 pagi 13 Februari 2018.
Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan penguat kuasa syariah daerah Kemaman melakukan pemeriksaan berwaran di lokasi kejadian hasil maklumat yang diterima.
Sebaik saja sampai di hadapan pintu bilik berkenaan, penguat kuasa mendapati keadaan di luar bilik gelap sebelum anggota mengetuk pintu dan memberi salam beberapa kali.
Bagaimanapun, anggota mendapati pintu itu tidak berkunci sebelum pemeriksaan mendapati ada seorang wanita dan seorang lelaki di dalam bilik berkenaan.
Hasil soal siasat mendapati kedua-duanya bukan pasangan suami isteri atau mahram.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.