Khamis, 31 Disember 2020

Enam kali langgan pelacur, percuma sekali

Nor Azizah Mokhtar
 
GAMBAR HIASAN

Kuala Lumpur: Polis menyerbu sebuah sarang pelacuran yang beroperasi di sebuah hotel bertaraf tiga bintang di Jalan Ipoh, Sentul di sini dan menahan 12 wanita warga asing yang disyaki pekerja seks, malam tadi.

Dalam serbuan jam 11 malam itu, polis turut menahan dua lelaki tempatan dan seorang warga asing yang berperanan sebagai penjaga.

Semua wanita yang ditahan berusia lingkungan 20-an dan 30-an terdiri daripada sembilan warga Vietnam dan tiga warga Thailand.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat yang disalurkan orang awam melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Susulan itu, kita melakukan risikan dan pemantauan hampir dua minggu ke atas kegiatan pelacuran di hotel ini sebelum menjalankan serbuan.

"Kita dapati 12 bilik, masing-masing enam bilik di tingkat lapan dan sembilan hotel ini digunakan sebagai bilik pelacur melayan pelanggan," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menawarkan khidmat mereka melalui WeChat dan menggunakan aplikasi sama untuk berurusan dengan pelanggan.

"Pelanggan akan diminta datang ke hotel ini sebelum dibawa ke bilik-bilik yang menempatkan pelacur untuk mereka membuat pilihan.

"Sindiket didapati mengenakan bayaran sebanyak RM235 kepada pelanggan untuk sekali langganan," katanya.

Katanya, pelanggan juga diberikan satu kad 'loyalty' dan akan dicop setiap kali mereka datang melanggan sebelum diberikan sekali khidmat percuma selepas enam kali langganan.

"Pemeriksaan mendapati sebahagian warga asing yang ditahan mempunyai dokumen perjalanan sah manakala selebihnya mendakwa pasport mereka disimpan oleh pihak lain.

"Kita percaya sindiket pelacuran ini beroperasi di hotel ini sejak tiga bulan lalu dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk pembabitan pihak hotel dalam kegiatan itu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.