Khamis, 3 Disember 2020

Dua beranak saudara baharu hidup daif, perlu bantuan

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Muhammad Rahmat Abdullah (berdiri tiga kiri) dan ibunya dikunjungi Skuad Jom Bantu di rumahnya di Kampung Sungai Bogak - Foto NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad
Muhammad Rahmat Abdullah (berdiri tiga kiri) dan ibunya dikunjungi Skuad Jom Bantu di rumahnya di Kampung Sungai Bogak - Foto NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad

BAGAN SERAI: Dua beranak saudara baharu merayu simpati orang ramai membantu mereka meneruskan kehidupan yang serba kekurangan selain seorang daripadanya tidak memiliki pengenalan diri dan menyukarkan urusan seharian.

Manimaran 23, atau nama sebenarnya Muhammad Rahmat Abdullah, berkata beliau terpaksa menghharapkan simpati orang lain kerana kehidupannya yang hanya bergantung kepada pekerjaan mengambil upah mengait kelapa sawit selain terpaksa menjaga ibunya A Susila, 59 atau nama Islamnya Sumayyah Abdullah yang lumpuh kedua-dua kaki kerana angin ahmar.

Muhammad Rahmat berkata beliau dan ibunya baru memeluk Islam sekitar dua minggu lalu di Pejabat Agama Islam Bagan Serai kini buntu memikirkan nasib dirinya berikutan ketiadaan pengenalan diri disebabkan kegagalan ibu bapa membuat pendaftaran kelahirannya berikutan perkahwinan tidak berdaftar.

"Sebenarnya sejak usia 12 tahun saya teringin memeluk agama Islam namun perasaan itu saya pendamkan sehinggalah berjumpa seorang rakan, Jofadli Saidin, 34 yang terus membawa saya melafazkan kalimah syahadah di pejabat agama pada 19 November lalu diikuti ibunya pada 30 November lalu.

"Alhamdulillah impian saya tercapai namun buntu memikirkan nasib diri yang serba kekurangan berikutan ketiadaan pengenalan diri selain terpaksa menjaga ibu yang lumpuh," katanya ditemui ketika menerima kunjungan Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Jom Skuad Bantu yang menghulurkan sumbangan berupa sebuah peti ais, meja makan dan barangan keperluan harian bagi meringankan bebanan keluarga itu hari ini.

Katanya beliau hanya dimaklumkan ibunya bahawa dia dilahirkan di Hospital Seri Manjung, manakala bapanya gagal dikesan sehingga kini.

Beliau amat berharap dan merayu agar ada pihak yang dapat membantunya terutama dalam mendapatkan pengenalan diri.

Dalam pada itu Jofadli berkata penduduk di sini turut simpati terhadap kedaifan keluarga itu ditambah pula mengenai masalah dokumen pengenalan diri Muhammad Rahmat.

"Kami penduduk di sini pakat membantu mana yang terdaya, apatah lagi kini dia (Muhammad Rahmat) dan ibunya Sumayyah adalah mualaf dan saudara baharu kami."

"Di samping itu juga di sebelah malam, kami sama -sama belajar dan mengajar Muhammad Rahmat perkara asas Fardu Ain termasuk membaca al-Quran sementara mengharapkan agar ada pihak yang membantu menyelesaikan urusan dokumen pengenalan diri bagi membolehkannya mengikuti kelas pengajian agama khusus bagi muallaf di bawah Jabatan Agama Islam," katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat, yang menziarahi keluarga itu.

Katanya, pihaknya sedang berurusan dengan pihak berkaitan bagi menguruskan pendaftaran diri keluarga berkenaan.

Orang ramai yang ingin turut serta membantu keluarga itu boleh menghubungi Muhammad Rahmat di talian 01118634108.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.