PETALING JAYA: Pemuda Amanah mendesak kerajaan Muhyiddin Yassin mendedahkan dalang kartel daging yang diragui status halalnya.
Ketuanya Shazni Munir Ithnin berkata, kerajaan perlu telus dalam mendedahkan syarikat yang terlibat dan serta-merta menghentikan operasi syarikat berkenaan.
“Muhyiddin tidak wajar mengambil sikap sambil lewa terhadap kepentingan masyarakat Islam di negara ini yang berasa gusar dan hairan bagaimana kartel ini boleh dibiarkan beroperasi sejak sekian lama.
“Malangnya, sehingga hari ini kerajaan gagal mendedahkan kartel yang terlibat dan lambat bertindak untuk menghalang syarikat ini daripada terus memasarkan daging diragui status halalnya,” katanya dalam kenyataan.
Baru-baru ini media mendedahkan wujudnya kartel dilindungi pihak tertentu menjalankan aktiviti menyeludup daging haram selama lebih 40 tahun.
Daging diragui status halal itu diimport dari negara tidak mencapai standard ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kemudian mencampurkan daging halal dengan daging haram dan dipasarkan kepada orang ramai.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse mendesak agensi berwajib termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta majlis agama Islam mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.
Beliau yang juga ADUN Bukit Batu berkata, kerajaan perlu memberi jaminan kepada rakyat supaya isu seperti itu tidak lagi berulang pada masa akan datang.
“Dalam bab ini, walaupun saya bukan Muslim, atas semangat rakyat Malaysia, saya bersolidariti untuk kawan-kawan Muslim saya dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan sendiket kartel daging ini,” katanya.
Beliau berkata, satu lagi masalah dalam isu itu adalah rasuah yang dilihat semakin membarah.
“Dilaporkan habuan seperti wang dan seks ditawarkan oleh sendiket daging untuk memastikan aktiviti haram mereka dapat dijalankan dengan bebas.
“Sebab itu, saya merasakan apa dilakukan oleh sendiket kartel daging import dan pegawai kerajaan yang terlibat adalah sangat berat kesalahannya, tidak bertanggungjawab dan mencemarkan nama baik industri halal negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.