Kuantan: "Saya sayangkan suami sebab itu saya sanggup menunggang motosikal sejauh 200 kilometer (km) dari Kampung Kemahang, Benta, Lipis ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini kelmarin.
"Perjalanan bermula 6.15 petang mengambil masa kira-kira tujuh jam. Perasaan takut melalui perjalanan waktu malam yang gelap kawasan hutan memang terasa namun kerana kasihkan suami saya kuatkan semangat," kata suri rumah Rohaizan Rozama, 41.
Dia nekad berbuat demikian demi mahu menjaga suaminya, Razali Ismail, 45 yang dimasukkan ke HTAA sejak 12 Disember lalu untuk mendapatkan rawatan penyakit kanser perut dan otak, tahap empat.
Menurutnya, dia terpaksa meninggalkan dua anaknya berusia empat dan lapan tahun dengan saudara di kampung.
Katanya, tanggungjawab terhadap suami yang kini bertarung nyawa dengan penyakit dihidapi
perlu diberi perhatian.
Wanita itu berkata, dengan pendapatan RM500 bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sedikit wang simpanan dia perlu berjimat sepanjang menunggu suami di HTAA.
Bagaimanapun, dia tidak pasti tempoh rawatan.
"Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih pada mereka yang bermurah hati memberi sumbangan kewangan kepada saya, hanya Allah sahaja yang akan membalas keikhlasan individu berkenaan.
"Saya mengharapkan orang ramai dapat mendoakan semoga suami saya sembuh dan dapat meneruskan kehidupan yang sempurna," katanya yang menetap di
Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Kemahang, Lipis.
Beliau berkata demikian selepas menerima bantuan segera daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang disampaikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Baitumal Dan Operasi MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, di sini semalam
Rohaizan berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada pengurusan MUIP yang begitu prihatin dengan segera memberi bantuan kepadanya bagi meringankan beban dia sekeluarga yang dalam kesusahan.
Sementara itu, Asmadi berkata, MUIP akan memberi bantuan bulanan RM500 kepada Razali iaitu suami Rohaizan.
Kita juga akan menyediakan bantuan barangan keperluan harian bernilai RM200 sebulan bagi meringankan beban keluarga terbabit yang kini bergantung sepenuhnya pada bantuan diterima.
"Saya berharap bantuan yang diberikan MUIP memberi sinar baharu kepada keluarga asnaf terbabit terutama selepas ketua keluarga mereka mengalami masalah kesihatan serius," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.