KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mewujudkan skim jaminan pekerjaan bagi mengatasi masalah pengangguran yang membimbangkan disebabkan kesan penularan COVID-19.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, kesan pandemik COVID-19 memaksa banyak syarikat mengecilkan operasi dan membuang pekerja.
Katanya, menerusi inisiatif itu, kerajaan perlu membelanjakan sejumlah dana untuk mengambil lebihan bekalan buruh dan menggajikan mereka untuk melaksanakan aktiviti membina model ekonomi dan masyarakat.
Sebagai contoh katanya, jawatan pembantu guru boleh diwujudkan di sekolah sebagai penyelesaian bagi mengurangkan beban guru sedia ada.
"Mungkin tiada keperluan mendesak menambah guru. Tetapi berapa kali kita dengar keluhan tenaga pengajar mereka dibebani tugasan kertas kerja atau tugas perkeranian.
"Berapa banyak perpustakaan dan agensi kerajaan yang masih menguruskan sistem fail secara manual. Bayangkan tenaga kerja digunakan untuk mengurus secara digital dokumen tertentu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu dalam isu kesihatan mental, beliau berkata, ada badan bukan kerajaan (NGO) sedia mengambil tenaga kerja terlatih untuk bersama dengan mereka mengatasi masalah individu yang berdepan kemurungan atau gangguan psikologi.
"Isu ini sering tidak mendapat perhatian tetapi statistik menunjukkan masalah kemurungan, keseorangan dan pelbagai cabaran psikologi lain semakin menular di dalam sistem kapitalisme moden.
"Ada NGO yang membantu seperti Befrienders. Saya yakin mereka tidak menolak tambahan tenaga kerja terlatih dan bergaji untuk membina rangkaian lebih luas seandainya ada orang yang hanya mahu seseorang mendengar masalahnya tanpa diadili," katanya.
Baliau berkata, jika bayaran RM1,500 seorang boleh diberikan kepada satu juta individu menerusi inisiatif ini, kerajaan memerlukan belanja sekitar RM18 bilion.
"Ya, banyak, tetapi tidaklah terlalu besar sehingga di luar imaginasi dan kreativiti kerajaan. Jika boleh belanja berbilion untuk perkara lain, mengapa tidak untuk satu revolusi pasaran kerja yang menangani beberapa masalah secara terus.
"Pengangguran bukan percuma untuk kerajaan. Tetap ada kos. Baik dari segi perbelanjaan tunai dan kebajikan agensi kerajaan atau dari segi kos sosial tidak langsung yang mungkin lebih besar dari RM18 bilion," katanya.
Beliau berkata, selagi sektor swasta menghadapi kesusahan, negara tidak boleh terus terikat kepada ideologi pasaran kapitalisme bebas dan sudah tiba masa sektor awam perlu melindungi keadaan ekonomi.
"Jika kerajaan seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah
yang antaranya mempunyai tradisi kapitalisme jauh lebih lama dan
mendalam dari Malaysia boleh berbelanja berbilion malah trilion, saya
yakin kita mempunyai kebolehan serupa," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.