Bernama
Lt
Jeneral Kriangkrai Srirak meninjau lokasi insiden di Daerah Sadao
Songkhla di mana seorang anggota PGA maut ditembak ketika bertugas di
Perlis pada Selasa. --fotoBERNAMA
SONGKHLA:
Thailand sedia memberi kerjasama untuk mempergiat kawalan keselamatan
di sempadan Thailand-Malaysia susulan insiden seorang anggota Pasukan
Gerakan Am (PGA) maut ditembak ketika bertugas di Perlis pada Selasa.
Komander
Tentera Bahagian Ke-4 Lt Jeneral Kriangkrai Srirak yang merupakan
Pengerusi Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) Thailand-Malaysia telah
menghubungi Pengerusi RBC Malaysia Lt Jen Datuk Mohamad Ab Rahman
semalam.
Beliau
berkata mereka telah mengadakan perbincangan untuk mempertingkat
kawalan di sempadan Thailand-Malaysia bagi mengelak insiden yang sama
berulang.
Pasukan keselamatan, katanya,
akan mempertingkat kawalan di sepanjang sempadan termasuk mempergiat
rondaan dan mewujudkan pos kawalan di lokasi strategik bagi mengekang
kegiatan penyeludupan serta berkongsi maklumat.
"Kami
tidak mahu insiden yang sama berulang. Pihak berkuasa Thailand sedia
memberi kerjasama kerana ia merupakan salah satu saluran untuk
mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku," katanya kepada media
selepas meninjau lokasi kejadian di Daerah Sadao, Songkhla, di mana
anggota PGA maut ditembak pada Selasa lepas.
Beliau
turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang Sarjan
Baharuddin Ramli, 54, yang terkorban dalam kejadian berbalas tembakan di
sempadan Padang Besar, Perlis itu.
Kriangkrai berkata hubungan diplomatik kedua-dua negara berada pada tahap yang baik.
"Sehubungan itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil," katanya.
Sementara
itu, Kriangkrai berkata pihak berkuasa Thailand telah mengenal pasti
suspek yang terlibat dalam insiden berbalas tembakan pada Selasa lepas
itu.
"Tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat untuk membantu siasatan
," katanya.
Semalam
media melaporkan seorang anggota PGA cedera ringan selepas terkena
tembakan ketika menjalankan rondaan bersama-sama rakan setugasnya di
sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah pada kira-kira
6.15 petang.
Dalam kejadian pertama pada
awal pagi Selasa lepas, Baharuddin maut manakala Sarjan Norihan a/l
Tari, 39, parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan penyeludup di
Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.