TAPAH: Kematiannya sangat menyedihkan, tapi saya berbangga kerana suami meninggalkan kami ketika bertugas untuk keamanan dan keselamatan negara, dia seorang wira, kata isteri mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban selepas terkena tembakan penjenayah di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi tadi.
Relow Ko, 48, berkata beliau dimaklumkan mengenai insiden yang menimpa suaminya itu kira-kira jam 4.30 pagi tadi oleh seorang rakan yang datang ke rumahnya di kompleks perumahan Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor di sini, hari ini.
"Sewaktu kawan sampai dia senyap bila saya tanya kenapa. Dia tunjuk mesej WhatsApp kepada saya beritahu apa jadi kepada suami, dan waktu itu saya rasa kosong sebab awal pagi, saya terkejut," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Baharuddin, 54, terbunuh dalam insiden pada jam 3.10 pagi itu, manakala rakannya, Koperal Norihan a/l Tari, 39, mengalami kecederaan parah, dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis.
Mendiang yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan meninggalkan seorang balu dan tiga anak berumur antara 18 dan 32 tahun.
Menurut Relow, mendiang suaminya yang bertugas dengan Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA terbabit dalam penugasan kawalan keselamatan Op Benteng di sempadan sejak 1 November lalu dan dijadual berakhir hujung bulan ini.
Beliau berkata mendiang suaminya yang mula berkhidmat sebagai anggota polis ketika usia 19 tahun merancang untuk bersara empat tahun lagi dan berhasrat balik ke Bahau untuk bersama keluarga.
Bercerita mengenai peribadi suaminya yang berasal dari suku kaum Semelai, Relow berkata mendiang seorang yang suka bercucuk tanam dan tegas terhadap anak-anak serta keluarga, dan beliau tidak nampak sebarang perubahan ketara kepada mendiang suaminya sebelum keluar untuk tugasan kali ini, sebaliknya beliau yang berasakan sentiasa tidak sedap hati malah sukar untuk tidur malam.
Sementara itu, anak sulung mendiang, Shahrul Epanddy, 32, menyifatkan pemergian ayahnya sebagai wira negara.
"Saya anggap dia bukan mati sia-sia. Dia wira saya. Dia meninggal ketika mempertahankan negara. Sepupu saya yang turut bertugas di operasi sama memaklumkan ayah saya meninggal dalam keadaan tenang dengan raut wajah tersenyum," katanya.
Berkongsi kenangan bersama ayahnya, Shahrul Epanddy berkata kali terakhir mereka bertemu adalah Ogos lalu di Bahau namun tiada tanda-tanda pelik seakan mereka tidak akan bertemu lagi buat selamanya.
Mendiang Baharuddin akan disemadi di kampung halamannya esok.
Sementara itu di PADANG BESAR, rakan setugas yang rapat dengan mendiang, Koperal Alang Angah berkata ketika keluar membuat rondaan kira-kira jam 9 malam tadi, mendiang tidak menunjukkan apa-apa perubahan, dan seperti biasa dia nampak bersemangat menjalankan tugas," katanya.
"Saya panggil dia sebagai 'Baha' dan dia seorang yang peramah dan penyabar," katanya ketika ditemui Bernama.
Menurutnya beliau memang rapat dengan mendiang, malah menganggap mendiang seperti adik kandung. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.