PETALING JAYA: Dua kesatuan sekerja menggesa siasatan ke atas Zoo Negara atas dakwaan ia tidak mematuhi perjanjian tawar-menawar kolektif mereka dan pemecatan tidak adil terhadap presiden kesatuan dalaman.
Ini menyusul 2 bekas veterinar, S Vellayan dan Reza Singam, yang berkata pucuk pimpinan perlu dirombak dan kerajaan digesa mengambil alih operasi zoo.
Mereka turut mendakwa tahu salah pengurusan berlaku ketika mereka berkhidmat di sana, tetapi dakwaan itu dinafikan Timbalan Presiden Persatuan Zoologi Malaysia, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana.
A Sivananthan, ahli penasihat umum Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia dan penasihat kesatuan sekerja dalaman Zoo Negara, memberitahu FMT: “Saya menggesa kerajaan memandang serius perkara ini dengan menubuhkan jawatankuasa bebas untuk mengkaji setiap aspek zoo.
“Pekerja perlu dijaga, jika haiwan juga dijaga, dan mereka tidak dijaga dengan baik.”
Katanya, Zoo Negara belum mematuhi keputusan Mahkamah Perusahaan pada 2019 untuk memberi kenaikan tahunan 5% dan bonus minimum 2 bulan kepada pekerja, antara faedah lain.
“Saya sudah memfailkan ketidakpatuhan terhadap penghakiman itu,” katanya sambil menambah sebutan semula kes untuk menetapkan tarikh pendengaran akan diadakan esok.
Maran Rengasamy, presiden kesatuan sekerja dalaman, berkata beliau mempunyai kes belum selesai mengenai pemecatan didakwa tidak adil pada Ogos lalu.
Julai lalu, Mahkamah Perusahaan mendapati Zoo Negara menjadi pihak kepada “pengurangan kuasa kesatuan sekerja” dalam satu kes mengenai pemindahan kerja yang dibantah Maran, dengan mahkamah itu memutuskan Maran perlu dikembalikan ke jawatan asalnya. Sebulan kemudian, beliau diberhentikan.
Maran berharap kerajaan akan mengkaji layan pengurusan zoo kepada pekerjanya.
FMT sudah menghubungi Zoo Negara untuk mengulas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.