Rabu, 25 November 2020

Pindah takut rumah banjir dimasuki ular sawa

Oleh AIN SAFRE BIDIN
ANGGOTA pasukan penyelamat membantu mangsa banjir di Changkat Jong, Teluk Intan hari ini. - PEMBERITA dan GAMBAR AIN SAFRE BIDIN

TELUK INTAN: Rumah dimasuki ular sawa ketika banjir sebelum ini menyebabkan seorang penduduk yang kediamannya dilanda banjir semalam berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan.

Hussin Yahya, 63, dari Batu 9, Jalan Changkat Jong dekat sini berkata, rumahnya dinaiki banjir pada kira-kira pukul 6 petang semalam.

Menurutnya, berikutan paras air terlalu cepat dari parit berhampiran, dia tidak sempat menyelamat barang penting di rumahnya.

“Saya membuat keputusan untuk berpindah ke PPS ini bukan disebabkan banjir sahaja tapi takutkan ular sawa masuk lagi ke rumah saya.

“Dalam kejadian banjir sebelum ini, rumah saya dimasuki seekor ular saya, ketika itu mujur saya belum tidur. Ular sawa besar masuk ke dalam rumah dan bergerak hampir dengan saya, saya terpaksa mendiamkan diri.

“Saya tidak mahu kejadian sama berulang pada banjir kali ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.

Sementara itu, mangsa banjir kilat di Kampung Rahmat di Bidor, semalam membersihkan rumah masing-masing hari ini setelah banjir surut sepenuhnya.

Dalam kejadian semalam, sebanyak 20 buah rumah di kampung itu dilanda banjir kilat namun tiada PPS dibuka.

Seorang penduduk Kampung Rahmat, Zarina Ramli, 42, berkata, kampung itu kerap berlaku banjir kilat disebabkan sistem saliran air yang kurang sempurna.

“Dalam banjir semalam, air naik begitu cepat, saya tak sempat nak pindahkan barang rumah ke tempat yang selamat,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Halim Mohd. Sarit, 50, berkata, pada awalnya dia tidak menyedari air masuk ke dalam rumah.

“Hari ini setelah banjir surut, saya bersama ahli keluarga mengambil masa berjam-jam  membersihkan rumah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.